SELAYANG: Seorang penjaga rumah amal yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor, pada 4 Oktober atas tuduhan mendera seorang kanak-kanak yang juga penghuni rumah amal terbabit.
Mohd Syahid Hanapiah, 35 tahun, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 ($15,346) atau kededuanya sekali, lapor Berita Harian Malaysia.
Berdasarkan tuduhan, Mohd Syahid yang bekerja sebagai penjaga di rumah amal di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor, didakwa merotan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun hingga mungkin menyebabkan kecederaan ke atas mangsa.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh dilarang mengganggu mangsa serta saksi kes.
Tarikh 5 November ditetapkan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Pada 11 September, polis menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH yang didakwa terbabit dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak.
Susulan serbuan pertama itu, seramai 402 penghuni rumah amal berkenaan diselamatkan dan 171 individu berusia antara 17 dengan 64 tahun ditahan
Pada 26 September, seorang warden sekolah agama milik GISBH dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Klang, Selangor, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas empat tuduhan menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan ke atas tiga kanak-kanak sebuah sekolah agama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg