KUALA LUMPUR: Khutbah Jumaat di serata Selangor pada 27 September menyentuh mengenai isu penderaan dan pengabaian ke atas kanak-kanak yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH), yang digempur pihak berkuasa sejak 11 September lalu.
Menyifatkan kejadian itu sekiranya benar berlaku sebagai mendukacitakan, khutbah yang diterbitkan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mempersoalkan mengapa GISBH melakukannya.
Berdasarkan teks khutbah bertajuk Kenapa GISBH buat begini kepada kanak-kanak? itu, mimbar mengingatkan bahawa kanak-kanak mempunyai hak yang perlu dihormati dan disantuni, malah mempunyai hak untuk dimuliakan secara adil dan baik.
“Kanak-kanak juga mempunyai hak untuk hidup dan tinggal dalam suasana aman dan selamat serta jauh dari perlakuan jenayah jijik seperti pencabulan, liwat, dera, kahwin dan cerai secara paksa, buruh paksa, pemisahan anak-anak dari ibu bapa, malahan disuruh mengaku sebagai anak yatim.
“Sekiranya benar siasatan menjurus kepada kesalahan jenayah seperti yang diperkatakan, amatlah tidak wajar apa yang dilakukan oleh GISBH ini apabila tidak memelihara kanak-kanak dengan baik, malah melakukan kezaliman terhadap mereka seperti menyekat hak mendapat pendidikan arus perdana,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Melalui Op Global pada 11 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan daripada 20 rumah amal kendalian GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.
Kanak-kanak serta remaja lelaki dan perempuan itu disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan, dengan 13 kanak-kanak disahkan pernah diliwat.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sudah menahan seorang individu penting dalam rangkaian GISBH yang dikenali sebagai Shuhaimee Mohamed.
Berdasarkan maklumat laman Facebook Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas) Malaysia, Shuhaimee yang turut dikenali dengan panggilan Tuan Usu, disyaki antara individu penting yang memainkan peranan sebagai pengendali aliran tunai GISBH.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan Shuhaimee diberkas dalam Op Global Fasa 4, di Butterworth, Pulau Pinang, pada 21 September lalu.
“Dia diberkas selepas pihak polis memberkas pemimpin utama GISBH, Nasiruddin Mohd Ali, di ibu negara minggu lalu (20 September).
“Pada masa ini siasatan susulan masih dijalankan terhadap Shuhaimee bersama pemimpin lain termasuk meneliti segala akaun berkaitan dengannya. Dari situ kita akan jejak segala bentuk transaksi yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan GISBH,” katanya.
Sebelum ini, seramai 24 individu dipercayai pimpinan tertinggi GISBH ditahan di sebuah kediaman di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, pada 19 September lalu. GISBH turut terpalit dakwaan doktrin ajaran sesat Al-Arqam, penghambaan pekerja dan pengubahan wang haram.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg