KUALA LUMPUR: Pembukaan tanah perkuburan Islam di Hulu Semenyih, Selangor, bukan saja menyelesaikan isu tanah perkuburan yang berlarutan sejak tiga dekad lalu, tetapi juga mampu menampung keperluan jenazah umat Islam di Kuala Lumpur buat tempoh 28 tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata penggunaan tanah perkuburan Islam sedia ada di Kuala Lumpur telah mencapai kadar lebih 70 peratus setakat ini.
“(Tanah perkuburan di Kuala Lumpur) berbaki kapasiti hanya mencukupi untuk tempoh lima hingga tujuh tahun,” katanya menerusi hantaran di Facebook, lapor MalaysiaGazette.
Menurut Dr Zaliha, perihal tanah perkuburan di Hulu Semenyih itu antara isu yang dibincang dalam pertemuan beliau dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, bersama delegasinya di Menara Seri Wilayah di Putrajaya.
Pada Ogos 2024, Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata jenazah masyarakat Islam di Kuala Lumpur bakal dikebumikan di kawasan tanah perkuburan baru yang diwartakan kerajaan di Semenyih.
Menurut Datuk Mohd Na’im, tapak baru dengan keluasan hampir 90 hektar itu bakal diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memandangkan tanah kubur di ibu kota dijangka bertahan hingga enam tahun sebelum semua lot penuh.
Sementara itu, Dr Zaliha turut membangkitkan isu persempadanan antara Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya pada pertemuan tersebut bagi memastikan penguatkuasaan sempadan lebih bersepadu dapat dijalankan.
Ia juga bertujuan memaksimumkan guna tanah bagi pembangunan terancang, memperkemas kutipan hasil tanah dan mengelak isu pencerobohan serta pertindihan kawasan.
“Pertemuan ini penting untuk memastikan pembangunan tersebut dilaksanakan secara inklusif dan memanfaatkan kededua pihak secara menang-menang, baik Wilayah Persekutuan mahupun Selangor,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg