Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perodua M’sia lancar EV pertama akhir Nov

Nov 11, 2025 | 4:28 PM
Anwar, Perodua, EV
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga dari kanan), melihat kereta Perodua Bezza yang ke 5.5 juta, ketika lawatan dan sesi ramah mesra Perdana Menteri bersama warga kerja Perodua di Rawang, Selangor, pada 11 November. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

RAWANG (Selangor): Syarikat pengeluar kereta nasional Malaysia, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), akan melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertama yang menepati kehendak nasional pada akhir November 2025, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pelancaran kenderaan EV Perodua buatan Malaysia sepenuhnya itu akan dijadikan agenda nasional.

“Kenderaan EV yang akan dilancarkan itu bersifat mampu milik, memenuhi kehendak nasional serta boleh menjana ekonomi (negara),” katanya ketika berucap semasa lawatan dan ramah mesra bersama warga kerja Perodua di Rawang, Selangor, pada 11 November, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau menyifatkan EV Perodua itu memenuhi konsep dan falsafah Madani, berteknologi moden dan canggih serta dibangunkan oleh kepakaran tempatan terutama oleh Bumiputera.

“Saya sebutkan ia memenuhi konsep Madani, memandangkan ia mampu milik. Pengeluaran mesti memenuhi kehendak nasional dan menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih segar.

“Saya akan beri arahan kepada Jemaah Menteri bahawa peluncuran Perodua kali ini dijadikan sebagai satu agenda nasional yang besar,” katanya yang turut dibawa melihat sendiri model EV Perodua itu.

Beliau melahirkan kekaguman reka bentuk EV yang dihasilkan di Perodua dan menyifatkan penampilan kenderaan itu sangat elegan.

“Penampilannya sangat elegan. Saya fikir reka bentuk dari barat, tetapi ia di sini (Malaysia), di Perodua. Saya yakin dengan apa yang saya saksikan dan juga penjelasan yang diberikan,” katanya.

Datuk Anwar turut memberi jaminan beliau boleh menjadi ‘pegawai pemasaran’ Perodua yang utama tanpa gaji dalam mempromosikan EV Perodua dalam lawatannya ke luar negara.

“Saya bagi jaminan, saya akan jadi pegawai pemasaran Perodua yang utama. Tidak ada bayaran, tak ambil gaji,” katanya yang akan ke Afrika Selatan, Kenya dan Ethiopia minggu depan untuk lawatan kerja.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, sebelum ini menyatakan bahawa model EV berkenaan dijangka ditawarkan pada harga di bawah RM80,000 ($25,065).

Menurutnya, EV berkenaan akan menggunakan komponen tempatan bagi bahagian kritikal, dengan sasaran kadar penggunaan komponen tempatan melebihi 60 peratus.

Sasaran pasaran utama Perodua adalah golongan muda dan keluarga kecil.

Dalam usaha meningkatkan keyakinan pengguna terhadap EV tempatan, Perodua turut memberi jaminan bahawa nilai jualan semula model berkenaan akan kekal tinggi, meskipun selepas bertahun-tahun digunakan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg