Dengan peruntukan berjumlah RM421 bilion ($127.8 bilion) – Belanjawan Malaysia 2025 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 18 Oktober lalu adalah tertinggi dalam sejarah dan pertama kali melebihi RM400 bilion.
Belanjawan 2025 menyaksikan kenaikan peruntukan sebanyak RM27.2 bilion berbanding RM393.8 bilion Belanjawan 2024.
Bagi yang menerima durian runtuh berupa pelbagai bentuk bantuan termasuk sumbangan tunai daripada kerajaan, pastinya tidak henti tersenyum. Tidak kurang jutaan penjawat awam dan pekerja sektor swasta yang bakal menikmati kenaikan gaji minimum.
Namun, bagi segelintir kelompok yang akan terkesan dengan pelbagai kenaikan kos perniagaan, pertambahan kadar cukai selain penyasaran subsidi, serba tidak kena jadinya.
Mulalah terzahir ‘ancaman’ daripada beberapa sektor perniagaan dan pemain industri bahawa harga barangan dan perkhidmatan tertentu akan dinaikkan bagi menyerap lonjakan kos.
Belanjawan 2025 menyaksikan gaji minimum penjawat awam dinaikkan kepada RM2,115 sebulan. Pelaksanaan Skim Saraan Malaysia (SSM) bermula 1 Disember depan membolehkan kakitangan kerajaan mendapat pelarasan gaji baru antara 7 hingga 15 peratus, selepas kali terakhir ia disemak pada 2013.
Pekerja swasta pula bakal menikmati pertambahan gaji minimum RM200 kepada RM1,700 sebulan, sekali gus dilihat membantu kelompok ini menaik taraf kehidupan.
Antara pengumuman paling ‘besar’ dalam Belanjawan 2025 ialah cadangan penyasaran subsidi petrol RON95, yang menumpukan kepada warga asing dan golongan berpendapatan tinggi yang disebut sebagai ‘maha kaya’ atau T15, bermula pertengahan 2025.
Di sebalik jaminan kerajaan bahawa penyasaran subsidi petrol tidak akan memberi kesan kepada 85 peratus rakyat berpendapatan sederhana (M40) dan rendah (B40) yang akan tetap menikmati subsidi itu, penganalisis ekonomi dan orang ramai menyifatkan kesan domino akan tetap dirasai terhadap kos sara hidup rakyat.
Ketika ini kerajaan Malaysia menanggung subsidi petrol RON95 mencecah RM20 bilion pada 2023 dan warga asing serta T15 mendominasi 40 peratus subsidi dianggarkan berjumlah RM8 bilion.
Dalam masa sama, Sumbangan Tunai Rahmah – bantuan kewangan kerajaan untuk meringankan sara hidup keluarga B40 dan M40 sehingga RM4,600 bagi sembilan juta penerima, turut diramal meningkatkan kuasa beli pengguna yang akan mempengaruhi harga barang dan perkhidmatan.
Mengulas Belanjawan 2025, pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, merumuskan kerajaan Madani menekankan aspek kesejahteraan rakyat.
“Ini terbukti dengan sejumlah RM200 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan sosial, merangkumi pemberian bantuan pendidikan, kesihatan serta lain-lain bantuan. Pertambahan belanjawan mencecah RM30 bilion berbanding 2024 bukanlah angka yang begitu besar memandangkan ekonomi Malaysia sedang pesat ketika ini.
“Tetapi ia cuba dipadankan dengan pendapatan seperti cukai yang tidak meningkat begitu besar dan kerajaan cuba sasarkan defisit bajet 3.8 peratus. Secara komprehensif, Belanjawan 2025 meliputi semua aspek,” katanya kepada Berita Minggu (BM).
Tiada projek mega akan dibangunkan dalam Belanjawan 2025, sekali gus menurut Dr Barjoyai telah menyebabkan banyak syarikat besar kecewa sehingga pasaran saham menyusut pada pagi 21 Oktober.
Katanya pemain industri menyasarkan pengumuman projek mega seperti projek kereta api MRT3 dan kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura.
Pelaksanaan gaji minimum untuk sektor swasta pula, katanya, akan memberi tekanan kos kepada 1.3 juta syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang menyumbang lebih 35 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).
“Ini akan menyebabkan PMKS merasai perniagaan mereka tidak berdaya maju apabila terpaksa menanggung kenaikan RM200 daripada pertambahan gaji pekerja setiap bulan. Kerajaan perlu melihat insentif bersesuaian untuk bantu mereka,” katanya.
Belanjawan 2025 juga memperuntukkan RM10 juta untuk Kajian Geoteknikal Struktur Lapisan Tanah di jalan-jalan utama sekitar kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur – satu inisiatif penting menyusuli beberapa insiden malang akibat insiden lubang benam dan tanah runtuh.
Walaupun ada masam manis dalam Belanjawan 2025, rakyat pelbagai peringkat mengharapkan segala yang direncana kerajaan terutama dalam menangani kos sara hidup berjalan lancar dan terus membawa kemakmuran kepada Malaysia.
Pemilik firma guaman, Encik Auzan Sazali, 38 tahun, berkata biarpun terkesan dengan kenaikan gaji minimum sektor swasta 13 peratus berbanding RM1,500 pada 2023, banyak inti pati lain dalam Belanjawan 2025 yang dilihat mampu memantapkan lagi ekonomi Malaysia.
“Dalam mendepani hal ini ada beberapa pilihan perlu dibuat majikan sama ada melaksanakan perbelanjaan bijak, rasionalisasi pekerja atau yang paling tidak digemari pengguna ialah pemindahan kos oleh sektor perniagaan kepada pengguna,” katanya kepada BM.
Beliau turut memuji pendekatan kerajaan meningkatkan pendapatan dengan mengenakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pekerja asing, cukai dividen 2 peratus ke atas pendapatan dividen lebih RM100,000 saham individu, selain e-invois yang dapat mengelak peniaga lari daripada cukai.
Pembantu tadbir, Cik Marlina Jamal, 35 tahun, bimbang cadangan penyasaran subsidi petrol akan memberi kesan kepada lonjakan kos sara hidup yang sudah sedia tinggi ketika ini.
“Suami bekerja sebagai jurutera dan jika diikutkan kami jatuh dalam kategori M40. Walaupun nampak seperti bergaji selesa, hakikatnya dengan beban sara hidup sekarang, selepas ditolak bayaran pinjaman rumah dan kenderaan, gaji hanya cukup untuk sara keluarga. Kami juga tak terima apa-apa bantuan kerajaan,” katanya.
Tiga penuntut jurusan kejururawatan, Cik Izzati Saharil, 20 tahun; Cik Nurhafizah Mohd Zaidi, 24 tahun, dan Cik Ruhila Sari Suratman, 20 tahun, sepakat menyifatkan langkah kerajaan menyemak gaji penjawat awam menarik minat mereka untuk bekerja dalam sektor awam sebaik tamat belajar nanti.
Jurutera swasta, Encik Muhammad Adam Taufiq Rashidi, 32 tahun, pula berkata beliau terpaksa melakukan kerja sampingan untuk menampung keluarga dan berpandangan tangga gaji di Malaysia belum setara dengan kos sara hidup yang melonjak.
“Kenaikan gaji hanya akan beri kesan berantai pada harga barang. Kerajaan sepatutnya kukuhkan ekonomi dahulu. Kita tidak mahu duit jadi seperti daun pisang. Harga rumah antara paling membebankan di Malaysia dan kerajaan perlu atasinya,” katanya.
Suri rumah, Cik Zanariah Mohd Nor, 67 tahun, pula bersyukur kerana suaminya, Encik Yunus Daim, 70 tahun, pesara guru yang mengalami angin ahmar bakal menikmati pelarasan pencen dan sumbangan kerajaan, yang dapat menampung kos rawatan alternatif.
Apapun, penting untuk rakyat Malaysia mencorak perbelanjaan diri dan keluarga supaya kewangan tidak kritikal pada akhir bulan.
Berbelanjalah mengikut kemampuan, bukan kehendak. Bantuan diberikan kerajaan bukan untuk bermewah-mewah, tetapi untuk beringat-ingat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg