TAPAH (Perak): Gerakan besar-besaran dilancarkan bagi memburu 130 tahanan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang lari dari Depoh Imigresen Sementara Bidor di Tapah, Perak, pada 1 Februari malam.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata Pati terbabit memecahkan pagar dan kawat duri di sekeliling kawasan depoh itu untuk melarikan diri, termasuk menuju ke kawasan hutan berhampiran di seberang yang dipisahkan laluan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).
Bagaimanapun beliau berkata pihaknya optimis kesemua Pati terbabit akan dapat ditangkap semula memandangkan mereka melarikan diri dalam keadaan sehelai sepinggang, termasuk tanpa membawa sebarang keperluan diri, makanan, wang dan sebagainya.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi, berkata mereka terdiri daripada 115 lelaki etnik Rohingya dan 16 lelaki warga Myanmar.
Beliau berkata terdapat insiden rusuhan di dalam depoh blok lelaki itu dan semua tahanan berjaya melarikan diri dari Depoh Imigresen Bidor.
“Seorang lelaki disyaki tahanan yang melarikan diri turut maut selepas terbabit dalam kemalangan di jalan raya dan meninggal dunia di KM335 PLUS.
“Usaha mencari 130 tahanan yang lolos giat dijalankan termasuk melalui bantuan pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 Bidor dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak serta JSJ Bukit Aman.
“Setakat ini, belum ada tangkapan terhadap Pati yang lolos itu,” katanya lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, dalam kenyataan pada 2 Februari berkata gerakan memburu itu disertai 275 anggota pelbagai agensi seperti Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang dikerah sejurus insiden kira-kira 9.50 malam itu.
Pada pagi 2 Februari seramai 100 lagi anggota daripada Jabatan Imigresen dan PGA ditambah untuk meneruskan misi mengesan tahanan berkenaan.
Depoh Tahanan Sementara Imigresen Bidor itu terletak kira-kira 5 kilometer (km) dari jalan utama membabitkan laluan Tapah-Bidor, termasuk perlu melalui jalan kebun kelapa sawit.
Ia juga terletak bersebelahan laluan PLUS, selain jaraknya kurang 500 meter dari Sungai Gedong.
Kedudukan depoh itu yang berada dalam kawasan kebun kelapa sawit menjadikannya jauh dari penempatan penduduk.
Kejadian yang berlaku itu turut mendapat pelbagai reaksi rakyat negara itu yang meluahkan pandangan melalui media sosial.
Ada warganet menyifatkan kes itu sebagai memalukan negara, ada juga menggesa kerajaan segera memikirkan langkah dan mengambil tindakan secepat mungkin untuk menangani isu pelarian Rohingya, selain cadangan kawalan di depoh dipertingkatkan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg