Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos ini disifatkan sebagai medan ujian sebenar sama ada formula penyatuan undi Melayu melalui kerjasama tidak rasmi antara Umno dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS) mampu diulangi selepas kejayaan besar Barisan Nasional (BN) di Johor.

Penganalisis politik merangkap Pengerusi Teras Politik, Musyawarah Nasional dan Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Zainal Abidin Sanusi.
Penganalisis politik merangkap Pengerusi Teras Politik, Musyawarah Nasional dan Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Zainal Abidin Sanusi. - Foto fail BERNAMA

Penganalisis politik, Profesor Dr Zainal Abidin Sanusi, berkata kemenangan BN meraih 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bukan semata-mata mencerminkan pertambahan sokongan baharu terhadap gabungan itu, sebaliknya lebih kepada penyatuan semula undi Melayu.

Beliau berpandangan keputusan PAS yang tidak bertanding di 45 kerusi serta seruan kepada penyokongnya supaya mengundi BN di beberapa kawasan, menjadi antara faktor yang menyumbang kepada keputusan berkenaan.

“Yang berubah bukan saiz sokongan, tetapi susunannya. BN memperoleh lebih banyak kerusi tanpa semestinya memperoleh lebih ramai penyokong,” kata Pengerusi Teras Politik, Musyawarah Nasional dan Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu kepada Berita Harian (BH).

Pada PRN Johor 11 Julai lalu, PAS menyeru agar ahli dan penyokongnya memberi undi kepada calon BN di kerusi-kerusi yang tidak ditandingi calon Perikatan Nasional (PN), atas dasar mahu menyekat kemenangan PH dan memastikan penguasaan parti Melayu/Islam.

Pada PRN Negeri Sembilan pula, PAS menerusi Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dilaporkan berkata parti itu sedia menyokong pelantikan Menteri Besar daripada Umno, sekiranya kerjasama parti itu dalam PRN Negeri Sembilan dimuktamadkan.

Menurut Profesor Zainal Abidin, tarikh yang lebih penting untuk diperhatikan bukan hanya hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos, tetapi hari penamaan calon pada 18 Julai, kerana ia akan memberi gambaran sebenar bentuk kerjasama antara parti terbabit.

Profesor Zainal Abidin berkata tindakan PAS sebelum PRN Johor yang menyatakan kesediaan memainkan peranan sebagai pembangkang menunjukkan bahawa sasaran parti itu bukan semata-mata untuk memenangi kerusi.

Beliau mendakwa, corak keputusan pilihan raya di Johor menunjukkan bahawa sebahagian besar undi penyokong PAS dan Perikatan Nasional (PN) beralih kepada BN di kawasan tertentu.

Menurutnya, keadaan itu turut dipengaruhi kemerosotan prestasi Parti Tindakan Demokratik (DAP), yang menurut beliau, mengurangkan risiko politik kepada Umno, sekiranya memilih untuk bekerjasama dengan PAS berbanding terus bergantung kepada kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Bagi Umno, apabila undi Melayu tidak berpecah, parti itu kembali dominan.

“Bagi PAS pula, secara bersendirian parti itu berdepan had untuk membentuk Kerajaan Persekutuan, justeru kerjasama menjadi satu keperluan struktur, bukan lagi pilihan taktikal,” katanya.

Beliau berkata PRN Negeri Sembilan lebih sesuai dijadikan ukuran penyatuan Melayu kerana PH adalah penyandang kerajaan negeri, berbeza dengan Johor yang ketika itu ditadbir BN.

Pada PRN 2023, PH memenangi 17 kerusi DUN dengan pecahan mengikut parti, DAP menguasai 11 kerusi; Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan lima kerusi; manakala satu kerusi dimenangi Parti Amanah Negara (Amanah).

Beliau berkata sekiranya corak kemenangan yang sama dapat diulangi di Negeri Sembilan, ia menunjukkan bahawa formula penyatuan undi Melayu bukan sahaja mampu mempertahankan kubu tradisi, malah berpotensi merampas kuasa daripada kerajaan penyandang.

Bagaimanapun, Profesor Zainal Abidin mengingatkan bahawa kerjasama sedemikian turut berdepan beberapa cabaran, termasuk tuntutan pembahagian kerusi yang lebih tinggi daripada PAS, serta kemungkinan pengundi bukan Melayu yang tidak keluar mengundi sebelum ini kembali memberikan sokongan kepada PH.

Sehubungan itu, katanya, perkembangan pada hari penamaan calon nanti, khususnya jumlah dan lokasi kerusi yang tidak ditandingi PN, akan menjadi petunjuk penting terhadap tahap penyelarasan antara Umno dengan PAS.

“Muafakat Nasional mungkin sudah tidak wujud sebagai gabungan berdaftar, namun apa yang berlaku di Johor dan apa yang mungkin berlaku di Negeri Sembilan menunjukkan kerjasama tidak semestinya memerlukan pendaftaran. Ia hanya memerlukan penyelarasan,” katanya.