Topik diikuti
Pergi ke BHkuGelora Pilihan Raya N. Sembilan ‘ribut’ dengan krisis Adat, institusi raja dan Perlembagaan
Gelora Pilihan Raya N. Sembilan ‘ribut’ dengan krisis Adat, institusi raja dan Perlembagaan
Pengamat jangka pertembungan sengit di peringkat akar umbi dengan krisis pemecatan Yang di-Pertuan Besar corak perspektif pengundi
Gelora Pilihan Raya N. Sembilan ‘ribut’ dengan krisis Adat, institusi raja dan Perlembagaan
Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini berpotensi menjadi antara pilihan raya paling luar biasa dalam sejarah politik moden negeri itu, mengambil kira pertindihan antara aspek politik serta krisis Adat, institusi diraja serta undang-undang yang masih belum dimuktamadkan.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhammad Fuad Abdul Karim, berkata berbeza dengan kebanyakan pilihan raya yang lazimnya tertumpu pada isu ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pembangunan, PRN Negeri Sembilan berkemungkinan menyaksikan perbahasan lebih mendalam mengenai kedudukan institusi diraja serta tafsiran terhadap Perlembagaan Negeri Sembilan.
“Daripada perspektif sosiologi politik, keadaan ini sangat unik kerana rakyat bukan sahaja diminta membuat pilihan mengenai parti atau calon yang bakal mentadbir negeri, bahkan berhadapan dengan perbincangan yang menyentuh persoalan pengesahan institusi tradisional yang menjadi asas kepada identiti politik dan budaya Negeri Sembilan.
“Keadaan ini jarang berlaku dalam politik Malaysia dan berpotensi menjadikan PRN tersebut sebagai medan pertembungan antara prinsip demokrasi moden dengan tradisi pemerintahan berasaskan adat,” katanya kepada Berita Harian (BH).
PRN Negeri Sembilan akan diadakan lebih awal berbanding tempoh tamat penggal pada September 2028, berikutan krisis Adat dan institusi diraja, yang turut membawa kepada kemelut politik berpanjangan di negeri itu.
Krisis adat dan Perlembagaan di Negeri Sembilan tercetus selepas empat Undang (pembesar adat dan ketua daerah) pada 19 April lalu, mengumumkan pemecatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dan menamakan Tunku Nadzaruddin, iaitu putera ketiga Almarhum Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman, sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, menolak pengisytiharan itu dengan alasan seorang daripada Undang berkenaan, iaitu Undang Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak, telah dipecat daripada jawatannya sejak 13 Mei 2025, atas 33 sebab yang telah dibentangkan dalam Sidang Khas Dewan Keadilan Undang, yang dipengerusikan Tuanku Muhriz.
REAKSI BALAS UNDANG TAMBAH PERGOLAKAN
Krisis itu kemudian melarat kepada beberapa reaksi balas Undang yang mendesak peletakan jawatan Datuk Aminuddin, sebelum membawa kepada kemelut politik apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno/Barisan Nasional (BN) negeri itu, hilang percaya dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Datuk Aminuddin.
Beliau dikatakan gagal mengurus serta menyelesaikan polemik yang berlaku.
Pertikaian takhta tidak berkesudahan itu turut memasuki fasa perundangan apabila empat Undang terbabit mengheret kerajaan negeri ke mahkamah.
Selepas krisis politik berlarutan dengan pelbagai desakan agar beliau meletak jawatan, Datuk Aminuddin, kemudian mengumumkan pembubaran DUN Negeri Sembilan pada malam 4 Jun selepas mendapat keizinan Tuanku Muhriz, sekali gus membuka laluan bagi PRN ke-16 diadakan.
Bagaimanapun, pembubaran yang awalnya dianggap dapat meredakan krisis itu, sebaliknya, membuka episod baharu apabila empat Undang pada 5 Jun menabalkan Tunku Nadzaruddin, sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.
FAHAMI KONTEKS ADAT PERPATIH
Mengulas lanjut, Dr Muhammad Fuad, berkata keadaan di Negeri Sembilan perlu difahami dalam konteks sistem unik negeri tersebut yang berasaskan Adat Perpatih, yang mana Yang di-Pertuan Besar dipilih oleh Undang Yang Empat, manakala pentadbiran kerajaan negeri ditentukan melalui mandat pilihan raya.
Empat Undang iaitu pembesar bagi daerah Sungai Ujong; Jelebu, Tampin dan Johol, berkuasa dalam melantik dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar.
Beliau menjelaskan apabila ketiga-tiga komponen itu, iaitu institusi adat, Perlembagaan negeri dan politik terlibat dalam pertikaian serentak, ia bukan lagi sekadar krisis politik biasa, sebaliknya menyentuh soal pengesahan institusi dan kestabilan sistem pemerintahan negeri secara keseluruhan.
Dr Muhammad Fuad berkata dari perspektif politik, pembubaran DUN Negeri Sembilan boleh dianggap sebagai langkah munasabah dan selaras prinsip demokrasi berparlimen, terutama ketika kerajaan pimpinan Datuk Aminuddin berada dalam kedudukan minoriti selepas kehilangan sokongan daripada Umno/BN.
“Justeru, pembubaran DUN memberi ruang kepada pengundi menentukan semula kerajaan yang mereka kehendaki, memulihkan pengesahan politik pentadbiran negeri dan mengelakkan ketidakstabilan politik yang berpanjangan.
“Sekiranya DUN tidak dibubarkan, pelbagai usaha membentuk kerajaan baharu mungkin terus berlaku melalui rundingan politik atau pembentukan pakatan baharu,” kata Pensyarah Kanan, Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar itu.
Beliau turut melihat PRN itu sebagai ujian besar terhadap kepimpinan Datuk Aminuddin yang memimpin kerajaan dalam suasana ketidaktentuan politik dan pertikaian institusi.
“Keputusan PRN nanti bukan sahaja menentukan komposisi kerajaan negeri yang baharu, malah boleh ditafsirkan sebagai penilaian rakyat terhadap keupayaan beliau menguruskan krisis politik dan institusi yang berlaku sepanjang tempoh pentadbirannya,” kata beliau.
ISU ADAT, INSTITUSI DIRAJA DAN PERSEPSI PENGUNDI
Sementara itu, penganalisis politik, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi, berkata, peluang PH mengekalkan penguasaan di Negeri Sembilan dalam PRN16 masih terbuka, meskipun wujud dakwaan Datuk Aminuddin gagal menangani isu adat dan institusi diraja di negeri itu dengan berkesan.
Menurut beliau, isu berkaitan adat dan institusi raja memang bersifat sensitif serta boleh memberi kesan kepada persepsi sebahagian pengundi, khususnya dalam kalangan masyarakat yang menitikberatkan kedaulatan tradisi dan institusi berkenaan.
“Namun, terlalu awal untuk menyimpulkan bahawa isu tersebut akan menjadi faktor penentu utama dalam keputusan PRN Negeri Sembilan.
“Pengundi dalam kebanyakan PRN, lazimnya, menilai kerajaan berdasarkan prestasi pentadbiran secara menyeluruh, termasuk aspek pembangunan ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan.
“Justeru, walaupun kontroversi semasa boleh memberi kesan terhadap imej kerajaan negeri, impaknya bergantung kepada sejauh mana ia benar-benar mempengaruhi sentimen pengundi di peringkat akar umbi,” kata Pensyarah, Fakulti Undang-undang & Hubungan Antarabangsa itu.
Dr Hussain turut menjangkakan persaingan sengit antara gabungan kerajaan dengan pembangkang, serta corak pengundian golongan muda yang semakin penting selepas pelaksanaan Undi18 sebagai penarik PRN kali ini.
