Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PN kekal kuasa di Sungai Bakap; Kerajaan Perpaduan iltizam kukuh kesatuan

Jul 8, 2024 | 5:05 PM
Calon Perikatan Nasional (PN) daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS), Encik Abidin Ismail (tengah), memenangi pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, di Pulau Pinang, pada 6 Julai.
Calon Perikatan Nasional (PN) daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS), Encik Abidin Ismail (tengah), memenangi pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, di Pulau Pinang, pada 6 Julai. - Foto FACEBOOK ABIDIN ISMAIL

KUALA LUMPUR: Kemenangan calon Perikatan Nasional (PN), Encik Abidin Ismail, dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang, dengan pertambahan majoriti undi harus diterima dengan berlapang dada oleh Kerajaan Perpaduan.

Ini di samping meneruskan ikrar untuk terus memberikan khidmat terbaik untuk rakyat.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), berkata gabungan Kerajaan Perpaduan akan terus mengukuhkan kesatuan dalam pelaksanaan dasar dan inisiatif bertepatan dengan realiti semasa.

“Selaku Perdana Menteri, saya dengan penuh tawaduk menerima suara rakyat DUN Sungai Bakap yang berlangsung ketika negara sedang meniti fasa penyesuaian dengan gelombang perubahan sedang giat dilaksanakan di bawah hala tuju baru Kerajaan Madani.

“Kerajaan Madani menginsafi keputusan ini dengan menggilap azam memperhebat usaha membela nasib rakyat, sekali gus menjayakan agenda mengangkat martabat dan darjat rakyat serta negara,” katanya dalam hantaran di Facebook, lapor Malaysiakini.

Gabungan pembangkang PN mengekalkan penguasaan di DUN Sungai Bakap apabila Encik Abidin, 56 tahun, atau lebih mesra disapa sebagai Abang Bidin, memenangi kerusi berkenaan dengan 14,489 undi – menewaskan pencabarnya daripada PH, Dr Joohari Ariffin, 60 tahun, yang meraih 10,222 undi.

Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Pulau Pinang, itu menang dengan peningkatan jumlah majoriti 4,267 undi, berbanding 1,563 undi diperoleh mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan terbabit, Allahyarham Nor Zamri Latiff.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan kekalahan calon PH dalam PRK DUN Sungai Bakap bukanlah penamat kepada gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya Umno untuk menghadapi PRK seterusnya.

Presiden Umno itu berkata parti-parti komponen berkenaan akan terus berusaha dan berazam membawa kemenangan kepada calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK akan datang.

“Kita terima (kekalahan), itu keputusan rakyat... ini bukan penghujung, jalan terakhir PRK bagi mana-mana calon dalam parti komponen Kerajaan Perpaduan,” katanya lapor Malaysiakini.

Pelbagai pihak merungkaikan kekalahan PH di DUN Sungai Bakap terkait dengan pelbagai isu nasional dan tempatan.

Antara lain isu kesan penyasaran subsidi diesel, isu pembelian saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) oleh syarikat terkait firma pelaburan yang menyokong Israel, BlackRock, peningkatan kos sara hidup dan jumlah keluar mengundi yang tidak memihak kepada calon PH.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg