Topik diikuti
Pergi ke BHkuPN Perlis nafi komplot undi tidak percaya terhadap Menteri Besar
PN Perlis nafi komplot undi tidak percaya terhadap Menteri Besar
Hubungan Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kerajaan negeri kekal akrab
PN Perlis nafi komplot undi tidak percaya terhadap Menteri Besar
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) Perlis menafikan dakwaan wujud komplot usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Encik Abu Bakar Hamzah, akan dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.
Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata hubungan Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kerajaan negeri kekal akrab, selain PAS Pusat sudah menyuarakan pendirian menyokong pentadbiran sedia ada sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
PAS tegas beliau, tidak perlu menggunakan usul undi tidak percaya untuk menukar pentadbiran semasa kerana mereka menguasai kebanyakan kerusi DUN.
“Semua ini adalah tahyul yang dicatatkan (dijaja) oleh pelbagai pihak.
“Buktikan pada saya, memang tidak ada pakatan undi tidak percaya (ke atas Menteri Besar). PAS Pusat sudah buat keputusan untuk menyokong kerajaan ini sehingga Pilihan Raya.
“Tidak perlu undi tidak percaya. PAS yang majoriti, PAS boleh pergi beritahu (jika mahu ambil alih). Tetapi itu bukan cara PAS.
“Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berpesan kepada saya supaya wujudkan hubungan yang baik dan kita berpegang kepada ketetapan PAS Pusat,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, berkata demikian bagi mengulas polemik berhubung penangguhan sidang DUN Perlis baru-baru ini.
Penangguhan itu mencetuskan khabar angin kononnya wujud ketegangan antara wakil rakyat PAS dengan Menteri Besar daripada Bersatu yang baru berkhidmat beberapa bulan sejak akhir Disember 2025.
Mengulas mengenai tindakan enam wakil rakyat PAS yang tampil menuntut penjelasan berhubung isu penangguhan tersebut, Datuk Shahidan berkata langkah itu dibuat atas kapasiti peribadi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan bukannya mewakili pendirian rasmi parti.
“Saya tidak lihat sepenuhnya kenyataan enam wakil rakyat tersebut, tetapi mereka menuntut penjelasan sebagai wakil rakyat yang bertanya, bukan bagi pihak PAS.
“Kita menerima tindakan mereka sekadar ingin mendapatkan penjelasan atas kapasiti itu dan ia sama sekali bukan bertujuan menimbulkan ketidakharmonian di dalam kerajaan PN,” katanya, yang juga Ahli Parlimen Arau.
Datuk Shahidan berkata beliau juga percaya penangguhan sidang DUN berkenaan dibuat mengikut lunas undang-undang serta peraturan, dan bukannya disebabkan Menteri Besar takut dengan undi tidak percaya.
Terdahulu, media melaporkan Encik Abu Bakar, yang juga Adun Kuala Perlis, menafikan penangguhan sidang DUN Perlis, yang dijadual berlangsung dari 21 hingga 23 April ini dibuat, kerana beliau takut dijatuhkan.
Sebaliknya, beliau berkata, keputusan menangguhkan persidangan tersebut bukan di bawah kuasa mutlak Menteri Besar, tetapi dibuat berdasarkan nasihat tertentu demi kepentingan pentadbiran negeri.
Berikutan itu, enam wakil rakyat PAS diketuai Adun Sanglang, yang juga mantan Menteri Besar dari PAS, Encik Mohd Shukri Ramli, meminta penjelasan berhubung penangguhan yang disifatkan tidak pernah berlaku sebelum ini.
