KUALA LUMPUR: Suami kepada Datin Seri Pamela Ling Yueh, wanita yang dilaporkan hilang secara misteri ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 April lalu, ditahan polis pada 15 Mei, bagi membantu siasatan kes penculikan berprofil tinggi itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, mengesahkan lelaki berusia lingkungan 50-an tahun itu ditahan di ibu kota dan permohonan reman ke atasnya difailkan di Mahkamah Putrajaya.
“Suspek disahkan ditangkap di kawasan Kuala Lumpur pada awal pagi 15 Mei. Permohonan reman dibuat di Mahkamah Putrajaya, namun ditolak.
“Buat masa ini, individu terbabit masih dalam tahanan polis dan sedang disoal siasat bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.
Pada 17 April lalu, Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, memaklumkan siasatan kehilangan saksi SPRM itu turut menjurus kepada kemungkinan suami mangsa antara individu yang terbabit dalam kes berkenaan.
Datuk Rusdi pada 14 Mei juga dilaporkan berkata polis akan merakam percakapan tiga anak kepada Datin Pamela di Singapura dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes kehilangan wanita itu.
Beliau berkata ia antara langkah susulan dalam melengkapkan siasatan yang sedang dijalankan ketika ini.
Datin Pamela, 52 tahun, dilaporkan hilang selepas menaiki sebuah kenderaan swasta (e-hailing) dari kediamannya di Cheras, Kuala Lumpur, ke pejabat SPRM Putrajaya pada 9 April lalu.
Pemandu kenderaan terbabit kemudian membuat laporan polis, mendakwa wanita itu ‘dibawa pergi’ oleh tiga individu didakwa menyamar sebagai anggota polis sejurus kenderaan mereka tiba berhampiran bangunan SPRM.
Datin Pamela yang juga pengarah beberapa syarikat berkaitan tanah dan hartanah, dikatakan mempunyai maklumat penting berkait transaksi besar disyaki membabitkan syarikat milik suaminya yang sedang disiasat pihak berkuasa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg