KUALA LUMPUR: Kebanyakan skim pelaburan di laman media sosial seperti Facebook dan Telegram, adalah berbentuk penipuan serta tidak boleh dipercayai.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata taktik pengiklanan antaranya yang menggunakan kemewahan melampau, hanya sebagai rekaan untuk memperdaya mangsa menyertai skim pelaburan terbabit.
“Pelaburan (dalam laman sosial) tidak ada yang betul, kononnya video dan pelbagai taktik lain yang akhirnya membawa kepada penipuan.
“Tidak ada jalan mudah mendapatkan wang, melaburlah dalam skim sah yang diluluskan pihak berkuasa,” katanya selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan Sarjan Percubaan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, pada 7 Jun, lapor Astro Awani.
Datuk Ramli berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian dua pemain badminton negara menjadi mangsa sindiket penipuan yang mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.
Pada 3 Jun, media tempatan melaporkan pemain beregu campuran profesional negara, Lai Pei Jing, menjadi mangsa sindiket penipuan yang mengakibatkan beliau hilang hampir semua wang simpanannya.
Kejadian sama turut menimpa bekas pemain beregu lelaki badminton negara, Tan Boon Heong, yang mendedahkan dirinya pernah menjadi mangsa sindiket penipuan sehingga kerugian hampir RM2.5 juta ($1.48 juta).
Datuk Ramli berkata pihaknya sedang menyiasat kedua-dua kes terbabit dan perkembangan mengenainya akan dikongsi dalam masa terdekat.
“Mereka ditipu dengan penipuan pelaburan dan siasatan masih diteruskan,” katanya.
Rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan jumlah kerugian dialami warga emas yang menjadi mangsa penipuan dalam talian di Malaysia bagi tempoh 2021 hingga 2023 mencecah RM552.5 juta.
Jumlah itu membabitkan 5,533 mangsa atau 6.4 peratus daripada keseluruhan 86,266 individu yang direkod menjadi mangsa penipuan dalam talian dalam tempoh tiga tahun membabitkan jumlah kerugian RM2.7 bilion.
Terdahulu, seramai 247 sarjan percubaan menamatkan latihan asas kepolisian yang mereka terima selama sembilan bulan bermula 10 September 2023.
Datuk Ramli turut menasihatkan sarjan percubaan yang berjaya menamatkan latihan supaya mengelakkan penyalahgunaan kuasa, rasuah dan perbuatan yang melanggar etika dan disiplin tugas, susulan pelbagai cabaran yang bakal dihadapi apabila mula bertugas di penempatan ditetapkan.
“Semua pihak sedang memerhati, kesedaran orang ramai juga semakin meningkat jadi (polis) tidak boleh buat (kerja) lebih kurang, tak boleh sewenang-wenangnya salah guna kuasa atau mengamalkan rasuah... itu nasihat saya,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg