IPOH (Perak): Polis Malaysia pada 10 Jun menahan suami isteri yang disyaki mendera anak angkat perempuan mereka berusia lima tahun hingga maut pada 3 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Penolong Pesuruhjaya Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata laporan kes diterima daripada pegawai perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, pada 9.45 pagi, 10 Jun.
Beliau berkata pegawai perubatan itu memaklumkan mangsa dibawa ke zon merah wad kecemasan HRPB untuk menjalani bantuan kecemasan jantung dan pernafasan, sebelum kemudiannya disahkan meninggal dunia.
Katanya pemeriksaan ke atas mangsa yang dibawa dari Taman Malkop Silibin, Ipoh, ke hospital mendapati kesan lebam di seluruh anggota badannya dan kanak-kanak itu disyaki pernah dipukul menggunakan objek tumpul.
Menurutnya selain itu, hasil bedah siasat pada 10 Jun petang mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan multiple blunt injuries (kecederaan disebabkan berbilang objek tumpul).
“Selain itu, terdapat juga luka koyak dan lebam pada salur peranakan luar (vagina) dan dubur mangsa.
“Bertindak atas maklumat yang diperoleh 9.45 pagi (10 Jun), polis menuju ke lokasi kejadian iaitu sebuah rumah di Taman Malkop Silibih bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.
Menurutnya susulan itu, suspek wanita berusia 27 tahun yang juga ibu angkat mangsa serta suaminya berusia 66 tahun ditahan bagi membantu siasatan dengan permohonan reman dibuat terhadap kedua-kedua mereka dibuat pagi 10 Jun di Mahkamah Ipoh.
“Ibu angkat mangsa dan suaminya itu ditangkap 2.30 petang semalam (10 Jun) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg