IPOH: Tiga lelaki ditahan susuli kes penipuan dalam pelaburan dagangan mata wang kripto yang menyebabkan seorang pengarah sebuah syarikat pengurusan di Selangor kerugian RM12 juta ($3.4 juta).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata tiga suspek berusia lingkungan 35 hingga 55 tahun itu ditahan pada awal pagi 24 Januari di sekitar Lembah Klang serta Pahang.
“Mereka dipercayai mempunyai kaitan sindiket tipu pelaburan ini dan Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency (USJC) merampas mata wang kripto berjumlah AS$54,996.80 dengan nilai anggaran semasa RM259,955.80.
“Tangkapan susulan akan dilakukan membabitkan suspek yang masih bebas,” katanya lapor Berita Harian Malaysia (BHM) pada 24 Januari.
Datuk Ramli berkata laporan mengenai penipuan pelaburan itu diterima daripada seorang lelaki berusia 43 tahun pada 20 Disember 2023, yang menyedari ditipu selepas mengumpul dana bernilai RM12 juta daripada kira-kira 20 pelabur lain termasuk empat dari China.
Mangsa membuat bayaran dana ke akaun dompet mata wang kripto yang diberikan suspek dan beberapa akaun bank tempatan, selepas suspek yang dikenali di satu pusat beli-belah di Putrajaya menjanjikan pulangan 50 peratus keuntungan daripada projek itu.
“Mangsa melakukan semakan dan mendapati pelaburan itu sudah dipindahkan ke akaun dompet mata wang kripto disyaki milik peribadi suspek. Pengadu rasa ditipu dan kerugian RM12 juta,” katanya.
Sementara itu, Datuk Ramli berkata seramai 55 individu terselamat daripada menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan kripto apabila seminar mengenainya yang sedang dihadiri mereka di satu hotel di Ipoh, Perak, diserbu polis pada 20 Januari.
Beliau berkata polis menahan 11 individu berusia antara 30 hingga 50 tahun termasuk dua lelaki warga Filipina yang terbabit secara langsung dengan penganjuran seminar itu.
Menurutnya, sindiket yang menggunakan nama D’Luxe itu menawarkan skim pelaburan kripto kepada peserta berusia antara 40 hingga 60 tahun, kebanyakannya warga tempatan dengan sasaran ke atas mereka yang tidak begitu memahami cara urus niaga wang berkenaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg