BUKIT MERTAJAM: Polis Pulau Pinang melumpuhkan tiga sindiket penipuan antarabangsa yang beroperasi di sekitar daerah Bukit Mertajam, dengan penahanan 32 suspek warga China, Taiwan, Vietnam, Jepun dan juga tempatan menerusi tiga serbuan berasingan pada 1Jun.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, berkata operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Pulau Pinang itu berjaya menumpaskan sindiket ‘love scam’, penipuan pertukaran mata wang kripto (USDT) dan ‘phone scam’ yang menyasarkan mangsa dari beberapa negara termasuk Malaysia, Taiwan, China dan Jepun.

Beliau berkata serbuan pertama di Taman Pinggiran Bukit Minyak berjaya menumpaskan sindiket ‘love scam’ yang dipercayai beroperasi sejak Januari lalu.

“Seramai 10 warga asing ditahan membabitkan lapan lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang warga Taiwan berusia antara 24 hingga 41 tahun.

“Sindiket ini dipercayai menyasarkan mangsa dari Malaysia, China dan Taiwan.

“Polis turut menemui skrip penipuan yang digunakan sindiket selain merampas 16 unit komputer, 23 telefon bimbit dan empat unit router WiFi dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM78,000 ($25,019),” katanya dalam satu kenyataan, lapor MalaysiaGazette pada 3 Jun.

Datuk Azizee berkata serbuan kedua pula membongkar sindiket penipuan pertukaran mata wang USDT yang menyasarkan mangsa dari Taiwan.

“Seramai 15 individu ditahan membabitkan enam lelaki dan seorang wanita warga Taiwan, dua lelaki dan dua wanita warga Vietnam serta empat lelaki warga Malaysia berusia antara 20 hingga 49 tahun.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu mula beroperasi sekitar April lalu. Polis turut merampas 28 unit komputer, 21 telefon bimbit dan sebuah router WiFi dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM25,000,” katanya.

Tambah beliau, serbuan ketiga berjaya menumpaskan sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai polis Jepun bagi memperdaya mangsa dari Jepun dan Taiwan.

“Seramai tujuh warga asing ditahan membabitkan lima lelaki warga Jepun dan dua lelaki warga Taiwan berusia antara 20 hingga 47 tahun.

“Polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan bagi menyokong kegiatan penipuan termasuk telefon bimbit, komputer riba, iPad, pakaian seragam Polis Osaka, kad kuasa dan lencana polis palsu serta peralatan komunikasi satelit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM20,000,” katanya.

“Keseluruhan operasi itu menyaksikan rampasan bernilai RM123,000 dan membabitkan tangkapan warga China, Taiwan, Vietnam, Jepun serta Malaysia,” katanya.