Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Perlis rampas 365kg syabu nilai lebih RM13j

Jun 2, 2025 | 3:09 PM
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim (dua dari kiri), menunjukkan dadah yang dirampas menerusi pemeriksaan ke atas sebuah kereta di sekitar Kampung Belat Batu, Beseri, Padang Besar, Perlis, pada 1 Jun.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim (dua dari kiri), menunjukkan dadah yang dirampas menerusi pemeriksaan ke atas sebuah kereta di sekitar Kampung Belat Batu, Beseri, Padang Besar, Perlis, pada 1 Jun. - Foto KOSMO!

KANGAR (Perlis): Polis merampas dadah dipercayai jenis syabu seberat 365 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM13.14 juta ($4 juta) menerusi pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan sekitar Kampung Belat Batu, Beseri, Padang Besar, Perlis, pada 1 Jun.

Menerusi pemeriksaan sekitar 3.30 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun turut ditahan bersama sebuah kereta.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim, berkata semasa pemeriksaan dilakukan, sebanyak 17 guni berjahit telah ditemui dan di dalamnya mengandungi dadah disyaki jenis syabu seberat 365kg dengan nilai kira-kira RM13.14 juta.

“Modus operandi suspek adalah dipercayai dengan menggunakan kawasan hutan di sekitar Padang Besar untuk dijadikan sebagai transit sebelum bekalan dihantar ke selatan tanah air.

“Polis percaya dadah ini dibawa masuk secara berperingkat untuk dikumpulkan sebelum diedarkan oleh sindiket ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, pada 2 Jun, lapor Kosmo!.

Mengulas lanjut, Datuk Muhammad berkata siasatan awal mendapati jumlah keseluruhan rampasan berkenaan dapat digunakan oleh seramai kira-kira 3.6 juta orang penagih.

Menurutnya, saringan awal turut mendapati suspek yang ditahan positif dadah, methamphetamine, dan mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 7 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Polis juga sedang giat mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Datuk Muhammad berkata polis turut berjaya menahan seorang lelaki warga Thailand berusia 30 tahun di Taman Singgah Sana, Padang Besar, bersama dua ketulan mampat dipercayai ganja, sekitar 2.15 pagi, pada 1 Jun.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati ketulan mampat ganja itu disembunyikan dalam sebuah tong sampah dan dianggar bernilai RM6,200.

“Saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 20,000 penagih,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg