Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Johor ditetapkan 11 Jul, N. Sembilan 1 Ogos
PRN Johor ditetapkan 11 Jul, N. Sembilan 1 Ogos
Tarikh penamaan calon bagi Johor pada 27 Jun, N. Sembilan pada 18 Jul
PRN Johor ditetapkan 11 Jul, N. Sembilan 1 Ogos
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia menetapkan 11 Julai depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Johor, manakala Negeri Sembilan akan mengundi pada 1 Ogos.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata hari penamaan calon bagi Johor jatuh pada 27 Jun, dengan pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai.
Bagi Negeri Sembilan pula, tarikh penamaan calon adalah 18 Julai dan pengundian awal berlangsung pada 28 Julai.
Dalam sidang media di Menara SPR, Putrajaya pada 12 Jun, Datuk Ramlan menjelaskan tempoh berkempen selama 14 hari akan diberikan bagi kedua-dua negeri, berakhir pada 11.59 malam, masing-masing pada 10 Julai untuk Johor dan 31 Julai bagi Negeri Sembilan.
Beliau turut menyatakan bahawa peruntukan sebanyak RM86.8 juta telah dianggarkan untuk PRN Johor, sementara PRN Negeri Sembilan memerlukan RM80.6 juta.
Sebelum itu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR bagi memuktamadkan tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Pilihan raya ini diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 1 Jun, dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (5 Jun), bertujuan mengisi 56 kerusi DUN Johor dan 36 kerusi DUN Negeri Sembilan.
Bagi PRN Johor, Datuk Ramlan memaklumkan seramai 2,727,926 pemilih layak mengundi, dan ini termasuk 2,703,175 pengundi biasa; 12,041 anggota tentera berserta pasangan; serta 12,710 anggota polis dan pasangan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA).
Di Negeri Sembilan pula katanya, seramai 889,490 pemilih layak mengundi yang terdiri daripada 867,151 pengundi biasa; 16,884 tentera serta pasangan dan 5,455 polis.
Beliau berkata dalam melaksanakan PRN Johor kali ini, seramai 42,971 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses tersebut dengan sejumlah 1,140 pusat mengundi dengan 4,980 tempat mengundi atau saluran.
“Sementara bagi PRN Negeri Sembilan pula, keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 439 dengan 1,738 tempat mengundi atau saluran,” katanya.
Datuk Ramlan juga berkata bagi tujuan memantau kegiatan kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen pada PRN Johor, SPR akan menubuhkan 56 pasukan penguat kuasa merangkumi pelbagai agensi termasuk polis, pihak berkuasa tempatan dan wakil-wakil calon bertanding.
“Bagi PRN Negeri Sembilan pula, SPR akan menubuhkan 36 pasukan penguat kuasa sama untuk tujuan sama,” katanya.
