Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, yang menyaksikan hampir 700,000 pengundi bakal menentukan wajah politik negeri itu dalam satu lagi persaingan dan percaturan antara parti.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 31 Oktober, manakala hari pengundian awal untuk pasukan keselamatan Malaysia adalah pada 10 November.

Menurut beliau, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 31 Oktober sehingga 11.59 malam, 13 November.

Pada PRN kali ini, Datuk Ramlan berkata seramai 687,697 pemilih berdaftar layak mengundi bagi memilih 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk penggal pentadbiran baru.

“Daripada jumlah itu seramai 675,166 orang merupakan pengundi biasa, manakala 9,769 merupakan tentera dan pasangan serta 2,762 merupakan anggota polis,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di media sosial SPR pada 7 Oktober.

SPR menganggarkan keperluan peruntukan sebanyak RM28.45 juta untuk mengadakan PRN Melaka.

Menurut Datuk Ramlan, sebanyak 271 pusat mengundi akan dibuka membabitkan sebanyak 1,263 tempat mengundi atau saluran di seluruh Melaka.

Dalam pada itu, Datuk Ramlan memaklumkan SPR akan memperluaskan projek rintis Sistem Pengecaman Aksara Optik Kehadiran Pengundi (OCR-VA), ke semua saluran di setiap pusat mengundi bagi PRN Melaka Ke-16.

Jelas beliau, pelaksanaan sistem itu membabitkan kesemua 28 Bahagian Pilihan Raya Negeri DUN Melaka sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkat kecekapan pengurusan proses pilihan raya menerusi pendigitalan.

“Pengundi hanya perlu hadir ke pusat pengundian seperti biasa, mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada petugas untuk semakan dan meneruskan proses pengundian mengikut prosedur sedia ada,” katanya.

PRN Melaka Ke-16 diadakan selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, berkuat kuasa pada 23 September lalu.

Ketika ini, parti politik masih giat mengadakan perbincangan untuk menentukan rakan pakatan bagi menghadapi PRN Melaka, sejajar dengan perubahan landskap politik Malaysia yang semakin terarah kepada kerjasama politik antara parti.

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) yang membentuk Kerajaan Perpaduan di Melaka menegaskan akan mempertahankan 21 kerusi yang dimenanginya pada PRN ke-15, pada 2022.

Dalam masa sama gabungan rakan kerjasama BN yang membentuk Kerajaan Persekutuan-Pakatan Harapan (PH) dan gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN) turut meninjau kerjasama politik untuk menghadapi PRN Melaka.