Topik diikuti
Pergi ke BHkuProsedur keselamatan sekolah disemak susulan kes bunuh pelajar di Yong Peng
Prosedur keselamatan sekolah disemak susulan kes bunuh pelajar di Yong Peng
BATU PAHAT: Kerajaan Johor akan meneliti semula prosedur keselamatan di sekolah serta mempertimbang langkah keselamatan lebih ketat.
Ini menyusuli kematian tragik pelajar, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16 tahun, di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor, pada 3 Oktober.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata langkah keselamatan terbabit termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).
Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu meneliti aspek keselamatan di sekolah dengan lebih mendalam selepas beliau dimaklumkan sekolah berkenaan tidak mempunyai kamera CCTV.
“Seperti yang saya katakan, kerajaan negeri, insya-Allah, akan membantu dari segi keperluan asas.
“Namun, kita tidak mahu perkara ini berlaku lagi di mana-mana sahaja di negara ini atau di Johor.
“Itulah sebabnya saya berpandangan perkara ini perlu diteliti dengan lebih dekat oleh KPM. Saya akan menghubungi pihak kementerian,” katanya selepas menziarahi keluarga Allahyarhamha Irene Sofiya di Kampung Parit Selamat, Yong Peng, pada 5 Oktober, lapor The Star.
Datuk Onn Hafiz berkata beliau amat sedih dengan kejadian menyayat hati yang menimpa Irene Sofiya, seorang pelajar cemerlang yang masih muda.
Beliau menambah bahawa kerajaan negeri akan memberikan segala bentuk sokongan dan bantuan yang termampu kepada keluarga Irene Sofiya.
Datuk Onn Hafiz turut menggesa orang ramai supaya memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka.
“Insya-Allah, kita akan pastikan sesiapa yang didapati bersalah akan menerima hukuman yang setimpal dengan kesalahan dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, berkata kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat khas bersama Jabatan Pendidikan Negeri dan pejabat pendidikan daerah bagi meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) keselamatan sekolah.
Menurut Dr Naqib, mesyuarat itu akan meneliti aspek keselamatan sekolah secara menyeluruh termasuk sama ada pendekatan lebih tegas diperlukan bagi mencegah kejadian seumpama itu daripada berulang.
“Kita tidak boleh memandang ringan perkara ini kerana ia melibatkan kehilangan satu nyawa.
“Di peringkat negeri, kita akan terus bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan dan KPM untuk mencari penyelesaian bagi menangani perkara ini serta mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” ujarnya.
Beliau berkata, pemasangan CCTV merupakan antara langkah yang perlu dipertimbangkan kerana ia berupaya mencegah keganasan di sekolah, selain membantu siasatan pihak berkuasa.
Dalam pada itu, keluarga Irene Sofiya turut menerima ziarah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, pada 5 Oktober.
Raja Zarith Sofiah yang hadir bersama menantunya, Che’ puan Mahkota Khaleeda Johor, selama kira-kira sejam dilihat tidak dapat menahan sebak dan sedih dengan kejadian malang yang menimpa Irene Sofiya.
Raja Zarith Sofiah juga sempat membacakan surah Yassin dan tahlil yang dipimpin Kadi Daerah Batu Pahat, Encik Mohd Fauzi Bachok, sebelum menyampaikan sumbangan peribadi dan kata-kata semangat buat keluarga Allahyarhamha.