KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diterajuinya, sudah menerima kira-kira 18,000 permohonan keahlian selepas lima hari dilancarkan, dengan separuh atau 46 peratus daripadanya membabitkan mereka yang tidak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini.

Mantan Ahli Parlimen Pandan itu, yang menerajui Bersama secara rasmi pada 18 Mei, berkata 29 peratus keahlian pula datang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang pernah dianggotainya selama lebih 20 tahun.

Selain itu menurut Datuk Rafizi, Bersama turut berjaya menarik penyertaan mantan ahli Umno, Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

“Data selepas lima hari pelancaran menunjukkan sekitar 18,000 permohonan keahlian, dengan Melayu mewakili 62 peratus, diikuti Cina (15 peratus); India (14 peratus); dan Bumiputera Sabah & Sarawak (tujuh peratus).

“Demografi ini lebih mencerminkan komposisi rakyat Malaysia... dan yang paling besar, 46 peratus daripada mereka, tidak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini. Hampir separuh.

“Pengundi atas pagar yang selama ini tidak ‘berumah’, mereka mengundi tetapi tidak pernah rasa mahu menjadi ahli mana-mana parti, sekarang mereka datang,” katanya dalam hantaran di Facebook pada 25 Mei.

Melihat kepada pecahan keahlian baharu Bersama dalam kalangan yang pernah menganggotai parti politik Melayu lain sebelum ini, Datuk Rafizi yakin ia bermakna ada segmen dalam setiap parti yang sudah lama kecewa dan sedang mencari ‘rumah’ baharu.

“Serangan kononnya Bersama akan menyebabkan ‘pecah undi’ nampaknya tidak terpakai, berdasarkan data ini, kerana sokongan datang daripada pengundi pelbagai latar belakang yang selama ini tidak mempunyai tempat.

“Saya sendiri menjangkakan keadaan jauh lebih sukar daripada ini. Ada kawan saya cakap boleh capai 30,000 sebulan, tapi saya kata mengarut.

“Kalau lepas 10,000 pun, saya dah anggap baik,” katanya.

Pada 17 Mei lalu, Datuk Rafizi, yang juga mantan Timbalan Presiden PKR, bersama mantan Naib Presiden PKR merangkap mantan AP Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, mengumumkan hala tuju politik baharu mereka, selepas kecewa dengan kepimpinan PKR yang dilihat sudah hilang asas perjuangan dan keadilan.

Datuk Rafizi dan Nik Nazmi mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing, mulai 17 Mei, sebelum mengumumkan keluar PKR bermula 18 Mei.

Sejajar dengan langkah itu, kededuanya turut mengumumkan langkah mengambil alih Bersama, satu parti politik kecil yang sudah bertapak di Pulau Pinang sejak 2016.