Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Remaja hilang rupanya maut kemalangan di Selangor

Mar 5, 2024 | 2:04 PM
Mayat seorang remaja perempuan bersama sebuah motosikal ditemukan di dalam parit di Parit Changkat, Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor.
Mayat seorang remaja perempuan bersama sebuah motosikal ditemukan di dalam parit di Parit Changkat, Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor. - Foto BERITA HARIAN MALAYSIA

SUNGAI BESAR: Misteri kehilangan seorang remaja perempuan selama seminggu sejak 27 Februari lalu, terungkai apabila mayatnya ditemukan bersama sebuah motosikal di dalam parit di Kilometer (KM) 54 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Parit Changkat, Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor.

Mayat mangsa berusia 17 tahun itu dijumpai pada 4 Mac, kira-kira 30 meter dari motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang dipercayai ditunggang remaja berkenaan ketika kejadian.

Difahamkan, seorang pengguna jalan raya yang melalui lokasi berkenaan ternampak kenderaan itu sebelum menghubungi pihak bomba dan polis, kira-kira 11.10 pagi pada 4 Mac.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd Alias, berkata berdasarkan keterangan kes, ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Air Tawar pada 12.20 tengah malam 27 Februari lalu berhubung kehilangan anaknya itu.

“Pengadu memaklumkan bahawa kira-kira 8.20 malam 25 Februari lalu, mangsa telah keluar rumah untuk mengambil duit gaji di sebuah kafe politeknik di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Selangor, dengan menunggang motosikal kakaknya.

“Kali terakhir ibu mangsa menghubungi anaknya itu ialah kira-kira 3 pagi dan dia tidak memaklumkan keberadaannya ketika itu. Mangsa kemudian dihubungi sekali lagi tetapi gagal,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.

Encik Agus Salim berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika remaja itu dalam perjalanan dari arah Sekinchan menghala ke Sabak Bernam.

“Sebaik saja tiba di lokasi, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) di Sabak Bernam untuk bedah siasat,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg