Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ribut: 2 cedera akibat pokok tumbang di Selangor, sekolah di Perlis terjejas

Aug 26, 2025 | 2:37 PM
Ribut, 2 cedera akibat pokok tumbang di Selangor, sekolah di Perlis terjejas
Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun terpaksa menerima tiga jahitan di kepala selepas kereta dipandu ibunya dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Klang, Selangor, pada malam 25 Ogos. - Foto JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA

Dua orang termasuk seorang kanak-kanak di Selangor cedera, sebahagian bangunan sebuah sekolah di Perlis ditutup dan beberapa kenderaan dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut dan hujan lebat di beberapa kawasan dekat dua negeri berkenaan pada 25 Ogos.

Dalam kejadian di Klang, Selangor, pada kira-kira 10.40 malam, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun cedera di kepala dan menerima tiga jahitan selepas kereta dinaiki bersama ibunya dihempap pokok tumbang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Encik Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata dalam kejadian itu, ibu kanak-kanak terbabit berusia 37 tahun tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 10.43 malam, sebelum lima pegawai dan anggota dari dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, Klang, dikejarkan ke tempat kejadian. 

“Kanak-kanak itu bersama ibunya yang memandu kereta tersebut tiba di jalan berkenaan sebelum kenderaan mereka dihempap pokok tumbang. 

“Kerja pemotongan dan pengalihan pokok kemudian dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, pada 26 Ogos.

Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan kira-kira 9.45 malam di Jalan Kapar-Kuala Selangor, Selangor, seorang pemandu lori cedera ringan selepas kenderaan dipandunya dihempap pokok tumbang.

Encik Ahmad Mukhlis berkata pemandu lori berusia 35 tahun itu terperangkap dalam kenderaannya dan dikeluarkan dengan bantuan pegawai dan anggota bomba dalam keadaan selamat.

“Sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor bergegas ke tempat kejadian dan mendapati pokok tumbang sebesar lima pemeluk di jalan utama, menghempap sebuah lori,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, sebahagian bangunan sebuah sekolah di Perlis terpaksa ditutup pada 26 Ogos, selepas bumbung sekolah itu rosak dipukul ribut pada 25 Ogos petang.

Berita Harian Malaysia melaporkan, seramai 207 murid Sekolah Kebangsaan Seri Perlis, terpaksa mengikut sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) buat sementara waktu akibat kejadian itu.

Pengarah Pendidikan Perlis, Cik Rose Aza Che Arifin, berkata kejadian pada 5.20 petang itu menjejas kelas Tahun Satu membabitkan dua kelas dengan 70 murid; Tahun Dua (dua kelas, 74 murid); Prasekolah (satu kelas, 25 murid) dan lima kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dengan 38 murid.

“JPN (Jabatan Pendidikan Negeri Perlis) telah memaklumkan kepada penjaga murid dan semua langkah segera sedang diambil supaya kerja baik pulih dapat dijalankan secepat mungkin,” katanya.

Cik Rose Aza turut meminta pihak sekolah memastikan pembelajaran murid terus dipantau dari semasa ke semasa sepanjang tempoh PdPR itu berlangsung agar mereka tidak ketinggalan.

Menteri Pendidikan Malaysia, Cik Fadhlina Sidek, menerusi hantaran di Facebook pada malam 25 Ogos memaklumkan beliau meminta JPN Perlis untuk menyediakan laporan penuh kerosakan dan peruntukan bencana akan disalurkan supaya kerja baik pulih dapat dilaksanakan segera.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg