GEORGETOWN (Pulau Pinang): Seorang bapa dan anaknya warga China yang melancong ke Pulau Pinang, maut selepas kereta yang diletakkan di pekarangan Rumah Agam Pinang Peranakan, Georgetown, dihempap pokok tumbang dan bongkah runtuhan bangunan.
Mangsa lelaki berusia 50-an tahun dan wanita berusia 30-an tahun hanya dapat dikeluarkan pada 5.15 petang, pada 18 September, iaitu selepas kira-kira tiga jam insiden itu dilaporkan berlaku.
Mayat wanita malang itu ditemukan berada dalam keadaan tersepit di tempat duduk penumpang di sebelah hadapan, manakala mangsa lelaki duduk di kerusi belakang.
Difahamkan, kededuanya baru menamatkan lawatan di lokasi tarikan pelancong itu dan mahu meninggalkan tempat terbabit ketika tragedi itu berlaku.
Pemandu pelancong rakyat tempatan berjaya melarikan diri tanpa cedera. Dua lagi kereta kosong yang diletakkan di tepi pokok turut mengalami kerosakan.
Ketua Operasi yang juga Pegawai Zon Daerah Timur Laut Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Encik Muhammad Syafiq Noor Azman, berkata pihaknya berdepan cabaran dan detik sukar mengeluarkan mangsa berikutan tempat kejadian yang sempit dan mempunyai ruang terhad untuk membawa masuk jentera serta kren.
“Kita juga berdepan cabaran cuaca tidak menentu dan tidak menolak kemungkinan ribut atau angin kencang yang melanda Pulau Pinang sejak kebelakangan ini menjadi punca pokok itu tumbang. Namun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Maklumat awal yang diterima ialah mangsa baru saja masuk ke dalam kereta itu selepas keluar dari premis di lokasi terbabit dan pemerhatian mendapati pokok sebesar kira-kira tiga pemeluk itu melekat pada bangunan setinggi dua tingkat tersebut.
“Jadi apabila pokok itu tumbang, ia membawa bersama runtuhan bongkah konkrit dan menghempap tiga kereta yang diletakkan di lokasi kejadian, manakala dua lagi kenderaan tiada mangsa,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau berkata dengan kerjasama pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), kerja-kerja pemotongan pokok dilakukan sebelum menggunakan khidmat kren untuk mengalihkan pokok dan sisa runtuhan sepenuhnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg