Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tanah jerlus kedua di Masjid India, kerajaan M’sia laksana audit integriti demi tingkat keselamatan

Aug 28, 2024 | 7:08 PM
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain (tiga dari kiri), meninjau tempat kejadian tanah mendap kedua, kira-kira 50 meter dari lokasi tanah jerlus pertama di Masjid India, Kuala Lumpur, pada 28 Ogos.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain (tiga dari kiri), meninjau tempat kejadian tanah mendap kedua, kira-kira 50 meter dari lokasi tanah jerlus pertama di Masjid India, Kuala Lumpur, pada 28 Ogos. - Foto POLIS DIRAJA MALAYSIA

Belum pun reda kebimbangan ramai mengenai kejadian tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur, satu lagi kejadian tanah mendap berlaku kira-kira 50 meter dari lokasi pertama yang menyebabkan wanita warga India hilang selepas terperosok ke dalam lubang tanah jerlus itu pada 23 Ogos.

Mendapan tanah itu dikesan berlaku pada 2.30 pagi 28 Ogos, berhampiran Pondok Polis Masjid India.

Sebagai langkah keselamatan, pihak berkuasa menutup laluan sekitar 400 meter di sepanjang Jalan Masjid India kepada semua jenis kenderaan dan pejalan kaki.

Mendapan baru yang bersaiz lebih kecil daripada kejadian tanah jerlus pertama itu menambah kebimbangan orang awam untuk mengunjungi Masjid India walaupun Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, sebelum ini mengesahkan tanah di lokasi kejadian selamat dan sesuai untuk pembangunan.

Susulan kejadian mendapan kedua itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang melakukan tinjauan ke tempat kejadian di Masjid India, berkata satu audit integriti sistem utiliti bawah tanah akan dilaksanakan dalam masa segera bagi memastikan keselamatan kawasan tumpuan pelancong itu.

Bagaimanapun beliau berkata audit integriti itu yang akan melibatkan pelbagai agensi antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Kerja Raya, Indah Water Konsortium dan pakar geologis, hanya boleh dilakukan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) pelancong India yang masih hilang selesai.

“Kawasan ini (Masjid India) sudah berlaku mendapan kedua. Jadi untuk itu kita kena lihat keselamatan orang awam dan saya sudah buat arahan untuk dilaksanakan audit integriti.

“Kita akan periksa keseluruhan kawasan ini, mencari apa punca berlaku kejadian (tanah jerlus dan mendapan) ini. Kita akan panggil semua pihak yang terlibat dengan utiliti yang ada di bawah tanah ini untuk buat post mortem (siasatan) dan bagaimana untuk kita pastikan supaya kejadian ini tidak berulang pada masa depan,” katanya.

Menjelaskan lanjut, Datuk Fadillah berkata audit integriti itu juga akan melihat keseluruhan sistem saliran di situ dan mengenal pasti sebarang perkara yang perlu ditambah baik untuk keselamatan awam pada masa depan.

Datuk Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, turut memberi jaminan bahawa kawasan Masjid India selamat untuk dikunjungi, sekali gus menjawab kebimbangan umum mengenai keselamatan mereka untuk ke kawasan perniagaan itu.

Terdahulu mengenai kejadian tanah mendap kedua itu, Datuk Maimunah menegaskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup kawasan mendapan menggunakan tali keselamatan dan pengadang air.

“Tindakan segera telah diambil oleh DBKL dengan penglibatan pihak IWK yang memeriksa paip kumbahan di lokasi tersebut serta di kawasan sekitarnya bagi memastikan tiada kerosakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada 28 Ogos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg