IPOH: Kerajaan Malaysia memperuntukkan sejumlah RM260 juta ($81.46 juta) kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pada 2027 bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana, termasuk menyediakan kelengkapan penting untuk operasi menyelamat.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata peruntukan itu akan membantu mengatasi kekurangan peralatan dalam kalangan agensi yang terbabit dalam operasi bencana, termasuk bot, pam air dan mesin penapisan air.

Beliau berkata peralatan berkenaan penting bukan sahaja untuk operasi menyelamat, malah bagi memastikan bekalan air bersih dapat disediakan apabila bencana menjejaskan bekalan air.

“Kita tahu agensi yang membantu kita termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia tidak mempunyai peralatan yang mencukupi.

“Justeru kita membantu mereka membeli peralatan yang diperlukan. Ini antara langkah proaktif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh, di Perak, pada 11 Oktober.

Datuk Ahmad Zahid berkata kerajaan turut menyasarkan penambahan pusat pemindahan kekal di setiap negeri pada 2027, dengan keutamaan diberikan kepada kawasan berisiko banjir yang kerap dilanda bencana dan mencatatkan jumlah mangsa pemindahan yang tinggi.

Katanya, kerajaan menyasarkan penyediaan dua pusat pemindahan kekal bagi setiap negeri, namun kekangan kewangan menjadi cabaran untuk memenuhi keperluan itu dalam tempoh singkat.

“Sasaran kita ialah dua pusat bagi setiap negeri, tetapi dengan peruntukan tambahan pada 2027, jumlahnya akan ditingkatkan mengikut keperluan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Ahmad Zahid berkata kerugian akibat bencana di Malaysia menurun kepada RM636.9 juta pada 2025, berbanding RM933.4 juta pada 2024 hasil kesiapsiagaan awal dan tindakan mengurangkan risiko bencana.

Katanya, kesiapsiagaan perlu menjadi keutamaan dalam usaha melindungi nyawa dan mengurangkan kerugian ekonomi akibat bencana.

“Matlamat utama kita bukan sahaja untuk menyelamatkan nyawa, tetapi juga melindungi kediaman, menjaga mata pencarian serta hasil usaha rakyat.

“Dalam hal ini, sistem amaran awal memainkan peranan penting dalam memastikan masyarakat mendapat maklumat dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Ukuran kejayaan kita bukan sekadar keupayaan bertindak ketika bencana berlaku, tetapi sejauh mana kita mampu melindungi nyawa dan mengurangkan kerugian,” katanya.

Dalam masa sama, Datuk Zahid berkata Sistem Siaran Selular yang dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini berada di fasa akhir pembangunan bagi membolehkan amaran bencana disalurkan terus ke telefon bimbit penduduk di kawasan terjejas.

Menurut beliau komunikasi yang berkesan amat penting dalam menyelamatkan nyawa ketika bencana kerana amaran awal memberi masa berharga kepada orang ramai untuk berpindah dan mencari tempat perlindungan sebelum tragedi berlaku.