KUALA LUMPUR: Cik Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau membeli dan memindahkan milik sebuah rumah agam (banglo besar) di Amerika Syarikat yang dikatakan bernilai AS$13 juta, atau sekitar RM52.7 juta ($16.7 juta).

Satu video tular mendakwa rumah agam itu dibeli pada Julai 2025 oleh menantu Cik Rosmah, Encik Daniyar Kessikbayev, sebelum dipindah milik pada Mei lalu kepada sebuah syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan, Daing A Malek Daing Rahaman.

Cik Rosmah berkata video tersebut mengandungi dakwaan palsu dan berunsur fitnah bertujuan memperdayakan orang ramai serta membawa kemudaratan besar dan tidak boleh diperbaiki terhadap reputasinya termasuk keluarga.

“Tidak pernah pada bila-bila masa saya terlibat dalam pembelian, pembiayaan, pemindahan milik atau pemilikan mana-mana hartanah mewah, termasuk mana-mana hartanah didakwa bernilai AS$13 juta, mahupun saya membiayai, memudahkan, atau dalam apa jua cara sekali pun mengatur transaksi sedemikian bagi pihak menantu atau mana-mana individu atau entiti lain.

“Dakwaan mengaitkan saya dengan penggunaan syarikat cengkerang (syarikat yang tiada operasi perniagaan sebenar), struktur kewangan pesisir pantai, atau hubungan dengan mana-mana individu atau entiti yang dinamakan dalam video-video itu adalah tidak berasas sama sekali, cukup palsu, dan sengaja direka-reka dengan niat jahat.

“Ia langsung tidak disokong oleh apa jua bukti boleh dipercayai dan tidak lebih daripada satu kempen dirancang dan disengajakan untuk memfitnah saya serta membawa kehinaan kepada keluarga saya,” katanya dalam satu kenyataan, lapor portal berita, Free Malaysia Today.

Cik Rosmah berkata beliau membuat laporan polis pada 14 Jun supaya polis dapat menyiasat perkara berkenaan secara menyeluruh, termasuk mereka yang menyebarkan dakwaan palsu terhadap dirinya.

Beliau menyeru semua platform media sosial menurunkan video tersebut dan menyekat penyebaran kandungan berunsur fitnah itu.

“Saya dengan ini menyerahkan semua hak yang ada pada saya di sisi undang-undang, termasuk hak untuk memulakan prosiding sivil dan meneruskan tindakan jenayah terhadap mana-mana pihak yang telah menerbit, menerbitkan semula, berkongsi, atau terus menyebarkan dakwaan palsu dan memudaratkan ini,” katanya.

Kenyataan penafian oleh Cik Rosmah itu menyusuli kenyataan Daing A Malek sebelum ini yang turut menafikan dakwaan mengaitkannya dengan pembelian hartanah tersebut.

Dakwaan berkenaan dibuat oleh seorang pengguna X bernama Mark Lansvin menerusi satu video yang dikongsi di platform X.