Roti john ‘kayangan’ di tepi jalan, harga mahal tapi tetap tarik pembeli

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Roti john ‘kayangan’ di tepi jalan, harga mahal tapi tetap tarik pembeli

Mar 16, 2026 | 6:16 PM

Roti john ‘kayangan’ di tepi jalan, harga mahal tapi tetap tarik pembeli

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
bazar Ramadan, roti john, Bukit Antarabangsa, Ampang,
Peniaga roti john mewah, atau di Malaysia disebut sebagai ‘kayangan’, Encik Afham Amirullah Mat Khir, menunjukkan roti john wagyu yang berharga RM50 sekeping di gerainya di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Jika sebelum ini roti john lazimnya hanya diisi dengan inti daging cencang dan telur, namun kini peniaga lebih kreatif dalam mengolah hidangan itu dengan menjadikannya lebih mewah melalui pelbagai jenis inti seperti daging wagyu, ayam rangup dan daging kambing panggang, sekali gus membuatkan harganya agak tinggi. 

Walaupun sesetengah jenis roti john itu dijual setinggi antara RM50 ($16.23) dengan RM88 setiap satu, beberapa peniaga dilihat masih mampu menjual makanan yang dikatakan berasal dari Singapura itu sehingga ratusan keping setiap hari sepanjang Ramadan.

Di Selangor, peniaga roti john, Encik Afham Amirullah Mat Khir, berkata roti john yang dijualnya bukan saja menggunakan bahan premium sebagai inti, malah turut ditambah dengan truffle (sos cendawan) yang terkenal sebagai bahan mahal dan diimport, selain menggunakan roti buatan sendiri.

Beliau berkata idea menjual roti john premium tercetus pada 2022 berikutan perniagaan restoran makanan Barat yang diusahakan mereka di Bukit Antarabangsa kurang mendapat sambutan sepanjang Ramadan. 

Katanya, dari situ timbul idea untuk menjual roti john di bazar, namun dengan mengetengahkan konsep dan resipi yang berbeza daripada kebiasaan.

“Kami nak beri pelanggan rasa bahan yang biasanya dianggap mahal seperti wagyu dan truffle.

“Mungkin sebelum ini orang jarang jumpa bahan seperti itu di gerai jalanan terutama dalam roti john, jadi kami mula menjualnya.

“Pendek kata, kami bawa menu premium yang biasa ada di hotel ke jalanan,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).

Menurut beliau walaupun harga roti john wagyu mencecah RM50, ia masih dianggap berbaloi kerana saiznya besar dan boleh dikongsi beberapa orang, selain mutu bahan yang digunakan setanding dengan harganya.

Gerai roti john dengan nama The Bachelors Kitchen (TBK) itu menawarkan empat jenis roti john utama.

Menu paling murah ialah roti john zinger, menggunakan ayam goreng sedikit pedas yang dihidangkan bersama sos keju buatan sendiri yang dijual pada harga RM22 sekeping; roti john kambing panggang, RM28; roti john pulled beef (daging carik), RM24; dan paling mahal roti john wagyu, RM50. 

Kata Encik Afham, keistimewaannya ialah roti yang digunakan di gerainya tidak dibeli dari kilang, sebaliknya dibuat sendiri secara homemade (di rumah) yang memberikan rasa manis dan masin yang seimbang.

“Menu paling premium ialah roti john wagyu yang menggunakan wagyu marble 8 (bahagian premium dan bermutu) seberat sekitar 100 hingga 120 gram untuk setiap hidangan dan sos truffle itu yang akan menambah keenakannya,” kata beliau.

Pelanggan, Cik Naurah Norzan.
Pelanggan, Cik Naurah Norzan. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Pelanggan, Cik Naurah Norzan, 32 tahun, berkata beliau sanggup menempuh perjalanan sejauh 45 minit atau lebih jika sesak, semata-mata untuk menikmati roti john wagyu itu yang hanya dijual pada setiap Ramadan oleh TBK.

“Memang sedap hingga teringat-ingat. Walaupun gerai TBK ini jauh dari bandar Kuala Lumpur, kalau sedap pelanggan sanggup meredah perjalanan jauh dan kami salah seorang daripadanya,” kata beliau.

Pemilik The Fat Burger di Pulau Pinang, Encik Ashwad, menunjukkan daging pastrami yang mengambil masa lapan hari untuk disediakan bagi penyediaan roti john pastrami dijualnya pada harga RM88 sebiji.
Pemilik The Fat Burger di Pulau Pinang, Encik Ashwad, menunjukkan daging pastrami yang mengambil masa lapan hari untuk disediakan bagi penyediaan roti john pastrami dijualnya pada harga RM88 sebiji. - Foto INSTAGRAM THE FAT BURGER
Roti john RM88 sebiji yang menggunakan daging pastrami dijual oleh seorang peniaga di Pulau Pinang, tetap menarik perhatian pembeli.
Roti john RM88 sebiji yang menggunakan daging pastrami dijual oleh seorang peniaga di Pulau Pinang, tetap menarik perhatian pembeli. - Foto INSTAGRAM THE FAT BURGER

Sementara itu di Pulau Pinang seorang peniaga yang menggunakan jenama The Fat Burger, yang dikenali sebagai Encik Ashwad, menarik perhatian dengan menjual roti john pastrami (daging lembu perap), yang dikatakannya sebagai yang pertama seumpamanya di dunia dan dijual pada harga RM88 sekeping.

Menurut perkongsian beliau di media sosial, daging pastrami tersebut mengambil masa sehingga lapan hari untuk disediakan, dengan tujuh hari untuk proses perapan sebelum daging itu dibakar pada hari kelapan bagi mendapatkan rasa dan tekstur yang sempurna.

“Setiap hidangan roti john kami menggunakan kira-kira 150 gram daging pastrami, disajikan bersama roti arang,” katanya.

Jelasnya, antara bahan lain yang melengkapkan hidangan tersebut ialah sos honey mustard, mayones, keju mozarela, dua keping keju tambahan serta taburan parsli kering, yang memberikan gabungan rasa berlemak, manis dan sedikit herba.

Selain roti john pastrami, beliau turut menjual beberapa menu roti john lain antaranya roti john daging dan ayam pada harga RM23 dan roti john T20 sekerat RM38. T20 membawa maksud golongan berpendapatan tinggi di Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg