KUALA LUMPUR: Hampir 30 peratus daripada keseluruhan 315,388 penerbangan yang dijadualkan di lapangan terbang di Malaysia antara Januari hingga Ogos lalu berdepan masalah kelewatan.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata 90.2 peratus daripada jumlah itu dilapor ditangguhkan kurang dari dua jam, manakala bakinya menghadapi kelewatan melebihi tempoh berkenaan.
Memperincikan perkara itu, katanya, hanya 258,112 daripada keseluruhan penerbangan yang dijadualkan dalam tempoh dinyatakan dioperasikan oleh syarikat penerbangan domestik.
“Bagi menangani isu kelewatan dan pembatalan (penerbangan) ini, kementerian dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pada April lalu menetapkan 85 peratus sasaran OTP (On-time Performance).
“Selain itu, 80 peratus penerbangan yang mematuhi jadual bagi semua syarikat penerbangan Malaysia beroperasi dari semua lapangan terbang di Malaysia,” katanya pada sesi soal jawap lisan di Dewan Rakyat, pada 16 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau menjawab soalan Dr Richard Rapu @ Aman Anak Begri (Gabungan Parti Sarawak (GPS)-Betong), Encik Sim Tze Tzin (Pakatan Harapan-Bayan Baru) dan Encik Edwin Anak Banta (GPS-Selangau) mengenai isu kelewatan dan pembatalan penerbangan, merangkumi semua syarikat penerbangan domestik.
Sementara itu, Encik Loke menafikan perkongsian strategik Malaysia Airlines (MAS) dengan kelab bola sepak Inggeris, Manchester United (MU), pada Mac lalu sebagai antara punca masalah operasi penerbangan kendalian syarikat itu.
Katanya, perkongsian strategik global kedua-dua pihak berkenaan hanyalah bertujuan sebagai strategi pemasaran dan tidak menjejaskan isu penyelenggaraan pesawat milik MAS.
Sebaliknya, beliau berkata punca utama masalah operasi penerbangan adalah berikutan isu teknikal, didorong faktor geopolitik dunia dan beberapa lagi dengan keadaan itu turut menjejaskan syarikat penerbangan selain MAS.
“(Keadaan ini) menyebabkan isu rantaian perbekalan untuk komponen (pesawat) memang terjejas. Ada komponen yang tidak didapati pada waktu terdekat, menyebabkan isu penyelenggaraan timbul dan membelenggu syarikat penerbangan.
“Masalah ini bukan hanya berlaku ke atas syarikat penerbangan domestik. MAS sudah melakukan segala yang mampu untuk mengatasi isu teknikal.
“Saya yakin aspek pengurusan teknikal diberikan keutamaan tertinggi kerana tahap keselamatan penerbangan adalah keutamaan syarikat penerbangan terutama MAS,” kata Ahli Parlimen Seremban itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Encik Loke berkata tempoh bayaran balik penuh kepada pengguna selama 30 hari bagi kelewatan penerbangan lima jam dan lebih kepada penumpang adalah jangka waktu maksimum dan syarikat penerbangan digalak mempercepatkan bayaran balik itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg