TANJONG KARANG (Selangor): Semua institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mendapatkan surat kebenaran daripada ibu bapa atau penjaga sebelum merakam gambar, video dan audio murid serta memuat naik ke laman media sosial.
Menteri Pendidikan, Cik Fadhlina Sidek, berkata KPM sudah mengeluarkan garis panduan itu untuk menguruskan isu gangguan seksual, selain memberi perlindungan kepada keselamatan kanak-kanak, khususnya di sekolah.
“Dalam garis panduan ini, kita sudah mengingatkan guru berkaitan dengan kebenaran yang diberikan ibu bapa apabila ingin membuat content (kandungan) media sosial.
“Kita sangat mengambil berat mengenai isu kebenaran ini kerana kita tidak mahu ia menjadi isu besar, berikutan ada kaitan isu keselamatan khususnya kanak-kanak (ketika berada di sekolah).
“Proses kebenaran daripada ibu bapa (surat akuan) diperlukan sekiranya ada program atau kandungan pendidikan yang membabitkan kanak-kanak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Hab STEM di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Tanjong Karang, Selangor, lapor Berita Harian Malaysia.
Pada 6 September lalu, media melaporkan Menteri Komunikasi, Encik Fahmi Fadzil, menyatakan guru di institusi pendidikan tidak terkecuali daripada mematuhi undang-undang tidak menghasilkan kandungan di platform media sosial yang membabitkan kanak-kanak.
Encik Fahmi dilaporkan berkata KPM perlu memastikan tenaga pengajarnya mematuhi Akta Kanak-Kanak 2001 apabila mahu menghasilkan kandungan untuk dimuat naik dalam media sosial.
Cik Fadhlina berkata garis panduan itu bukan saja perlu dipatuhi guru, malah semua pihak supaya lebih berhati-hati apabila menghasilkan kandungan yang membabitkan pelajar dan kanak-kanak.
“Saya harap garis panduan ini dipatuhi sepenuhnya daripada pendidik. Saya yakin mereka dapat mematuhinya kerana garis panduan ini adalah khusus untuk memastikan keselamatan semua pihak terutama anak-anak,” katanya.
Pada awal September, seorang pemandu bas sekolah yang memuat naik rakaman video murid sekolah rendah yang juga penumpangnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Batu Pahat, Johor, kerana melanggar Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Tertuduh didakwa menggunakan platform TikTok dengan nama akaun ‘Abang Bas’ yang secara sedar membuat dan menghantar komen bersifat jelik terhadap video seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dengan kapsyen ‘hari ini crush buat homework’ diikuti tanda love sambil memerhatinya.
Perlakuan pemandu bas yang mempunyai lebih 640,000 pengikut di TikTok memuat naik beberapa video yang jelas menunjukkan wajah pelajar yang menaiki kenderaan itu mencetuskan rasa kurang senang orang ramai yang mengaitkan perbuatan itu dengan pedofilia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg