Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selangor lulus pindaan rang cegah lantik individu ekstrem, liberal jadi ahli agensi agama

Jul 7, 2025 | 4:05 PM
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah. - Foto NSTP

SHAH ALAM: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 7 Julai meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2025 berkait Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, berkata pindaan itu akan membawa beberapa implikasi penting, termasuk pemantapan proses tapisan pelantikan keanggotaan dalam agensi agama negeri itu.

Selain itu katanya Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan mempunyai kuasa lebih tuntas untuk menilai latar belakang calon daripada sudut pegangan akidah ASWJ sebelum sebarang pelantikan dibuat.

“RUU ini secara jelas memperuntukkan kriteria pelantikan anggota Majlis Agama Islam Selangor (Mais) selain anggota ex-officio, anggota Jawatankuasa Fatwa, anggota Jawatankuasa Tauliah dan anggota Jawatankuasa Rayuan Tauliah yang hendaklah terdiri daripada mereka yang mengamalkan pegangan ASWJ.

“Pindaan ini juga bertujuan mencegah pelantikan individu berpandangan ekstrem, liberal atau cenderung kepada fahaman yang menyeleweng daripada ASWJ. Malah, ia bertujuan memastikan pentadbiran Islam negeri ini selaras dengan pegangan ASWJ dan prinsip maqasid syariah.

“Ia khususnya dalam aspek pemeliharaan agama,” kata Dr Mohammad Fahmi dalam pembentangannya sebelum RUU itu diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), lapor Berita Harian Malaysia.

Dr Mohammad Fahmi berkata dalam hal ini, rujukan akan dibuat kepada Jawatankuasa Fatwa secara pentadbiran untuk menentukan parameter bagi individu yang dicalonkan adalah dalam kalangan ASWJ.

“Dengan adanya pelantikan yang selari daripada segi akidah, risiko percanggahan pendapat yang boleh membawa kepada ketidakharmonian dalam pentadbiran agama Islam dapat diminimumkan.

“Apabila semua pihak yang terlibat dalam penggubalan dan penguatkuasaan fatwa berada dalam kerangka ASWJ, keberkesanan pewartaan dan penerimaan masyarakat terhadap fatwa akan meningkat,” katanya.

Beliau menjelaskan pindaan ini juga boleh meningkatkan kepercayaan masyarakat, malah umat Islam akan lebih yakin terhadap ketelusan, kebolehpakaian dan kewibawaan institusi agama apabila pentadbiran dibuat secara konsisten dengan pegangan yang muktabar.

“Pindaan tidak melibatkan penambahan peruntukan kewangan. RUU 2025 ini juga telah disemak oleh pihak Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor dari sudut perundangan dan gubalan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg