Topik diikuti
Pergi ke BHkuSembilan jenis asam pedas jadi tarikan warga S’pura
Sembilan jenis asam pedas jadi tarikan warga S’pura
Asam Pedas Mama Julie di Muar guna ikan segar daripada nelayan tempatan
Sembilan jenis asam pedas jadi tarikan warga S’pura
Bermula sebagai pekerja kilang jahit yang langsung tidak meminati bidang masakan, kehidupan Cik Julia Hamidon, berubah apabila diminta membantu memasak di kedai milik abangnya lebih dua dekad lalu.
Hari ini, wanita berusia 54 tahun itu bersama suaminya, Encik Tunot Tasmin, 56 tahun, terus mempertahankan perniagaan Asam Pedas Mama Julie yang menjadi sumber rezeki keluarga mereka.
Namun, selepas berpindah ke Medan Selera Pantai Leka di Parit Jawa, Muar, sejak hampir dua tahun lalu, pasangan itu berdepan cabaran baru apabila ramai pelanggan lama, khususnya dari Singapura, tidak mengetahui lokasi baru restoran mereka yang terletak kira-kira satu kilometer dari premis asal berhampiran pintu air Parit Jawa.
Menurut Cik Julia, lokasi lama lebih mudah ditemui dan sering dikunjungi pelanggan dari Singapura yang sanggup datang semata-mata untuk menikmati asam pedas menggunakan ikan segar yang dibeli terus daripada nelayan tempatan.
“Orang Singapura memang ada datang. Mereka pernah makan di kedai lama dan suka sebab ikan yang kami gunakan segar. Ramai yang belum tahu kami sudah berpindah ke sini.
“Lokasi terkini agak tersorok dan lebih dikenali orang tempatan. Kami harap ada lebih banyak promosi dan papan tanda supaya pelanggan lama dapat mencari kami semula,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).
Beliau berkata walaupun kawasan Medan Selera Pantai Leka kini menjadi tumpuan penggemar asam pedas, persaingan juga semakin sengit kerana terdapat sekurang-kurangnya lima restoran asam pedas lain di lokasi sama selain beberapa lagi premis di sepanjang laluan masuk ke kawasan berkenaan.
Menurut Cik Julia, kebanyakan pelanggan mereka kini hanya memenuhi restoran pada hujung minggu manakala hari biasa lebih perlahan berbanding ketika berniaga di lokasi terdahulu.
Selepas berkahwin dengan Encik Tunot, mereka memulakan perniagaan kecil-kecilan menjual mi goreng, soto dan ikan bakar sebelum membuka restoran sendiri.
Setelah beberapa kali berpindah lokasi, pasangan itu akhirnya memberi tumpuan sepenuhnya kepada asam pedas yang kini menjadi identiti restoran mereka.
Restoran berkenaan menawarkan sembilan jenis asam pedas menggunakan pelbagai spesies ikan termasuk pari, parang, sembilang, mayong, jenahak, merah, paru, kembung dan bawal.
Cik Julia berkata keistimewaan masakannya bukan terletak pada resipi yang rumit, sebaliknya mengekalkan cita rasa tradisional yang mengingatkan pelanggan kepada masakan ibu atau nenek mereka.
“Ada seorang pelanggan warga emas menangis selepas makan asam pedas kami kerana teringat masakan isterinya yang sudah meninggal dunia.
“Ramai pelanggan berusia memberitahu rasa asam pedas kami seperti masakan orang dulu-dulu. Itu yang membuatkan saya terus bertahan,” katanya.
Dalam usaha mengekalkan harga berpatutan, beliau berkata mereka sentiasa mencari pembekal bahan mentah yang menawarkan harga lebih rendah.
“Saya akan cari tempat paling murah untuk beli telur, bawang dan sayur-sayuran. Kadang-kadang perbezaan harga boleh mencecah puluhan ringgit.
“Kalau tidak berjimat, memang susah untuk kami kekalkan harga makanan,” katanya.
Walaupun berdepan persaingan sengit dan peningkatan kos operasi, pasangan itu tetap optimis restoran kecil mereka akan terus menjadi pilihan pelanggan, khususnya warga Singapura yang pernah membesar bersama kenangan menikmati asam pedas di Parit Jawa.
