Seorang lagi pegawai tinggi tentera didakwa di mahkamah, pecah amanah RM5j
Seorang lagi pegawai tinggi tentera didakwa di mahkamah, pecah amanah RM5j
KUALA LUMPUR: Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Khamis, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada 30 Januari, atas satu pertuduhan pecah amanah membabitkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) bernilai RM5 juta ($1.6 juta).
Datuk Mohamed Fauzi, 56 tahun, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, beliau sebagai Penolong Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT, didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta TKAT berjumlah RM5 juta.
Beliau didakwa melakukan pecah amanah itu pada 27 November 2023 di Kementerian Pertahanan, dengan membuat pelaburan tambahan dalam sebuah syarikat, tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Encik Law Chin How, menawarkan jaminan sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
“Walaupun tertuduh masih memegang jawatan (dalam perkhidmatan), terdapat kemungkinan risiko besar kerana beliau kerap ke luar negara untuk hadiri program di luar negara,” katanya.
Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, memohon kepada mahkamah agar kadar jaminan dikurangkan kepada RM70,000.
“Anak guam saya mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan masih memegang jawatan (dalam perkhidmatan) serta tidak membantah syarat untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin dengan seorang penjamin RM100,000, dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes pada 16 Mac depan.
Datuk Mohamed Fauzi adalah pegawai tentera berpangkat tinggi keempat yang dihadapkan ke mahkamah.
Pada 23 Januari lalu, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, 60 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan, menerima wang berjumlah RM752,482 serta pecah amanah dana RM3 juta.
Pada 22 dan 23 Januari, bekas Panglima Tentera Darat Malaysia, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas enam pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram mencecah RM2.1 juta pada 2024 hingga 2025.
Pada 29 Januari pula, bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk Mohd Razali Alias, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas tiga pertuduhan menerima suapan wang AS$20,000 dan RM64,600 bagi pembelian tiket penerbangan ke luar negara untuk isterinya, pada 2024.

