Topik diikuti
Pergi ke BHkuSetahun tragedi bas pelajar universiti Perak: Mangsa terselamat masih trauma, elak naik bas malam
Setahun tragedi bas pelajar universiti Perak: Mangsa terselamat masih trauma, elak naik bas malam
Setahun tragedi bas pelajar universiti Perak: Mangsa terselamat masih trauma, elak naik bas malam
TANJUNG MALIM (Perak): Meskipun sudah genap setahun tragedi meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam nahas bas Persiaran di Jalan Raya Timur Barat, Gerik, Perak, pada 9 Jun 2025, ia masih meninggalkan trauma buat mangsa yang terselamat dalam tragedi itu.
Walaupun sedih dengan pemergian rakan serta kenalan dalam tragedi itu, empat mangsa terselamat dalam tragedi itu termasuk cedera parah, tetap bersyukur dengan menyifatkannya umpama diberikan peluang kedua untuk terus hidup.
Mengalami kecederaan patah pangkal lengan serta luka dan calar di badan, Tuan Muhammad Adham Tuan Adnan, 22 tahun, mengakui masih trauma, terutama untuk kembali melalui laluan nahas itu untuk pulang ke kampung atau kembali semula, selain mengelak daripada menaiki bas.
“Saya bersyukur sebab masih berpeluang bersama keluarga, namun, tetap sedih dan sayu memandangkan salah seorang daripada 15 mangsa yang maut, iaitu Allahyarham Muhammad Mustaqim Rosde, sudah saya kenali sejak di sekolah dan kami mengambil bidang pengajian sama di UPSI.
“Saya lebih pilih elak daripada menaiki bas kerana apabila menaiki bas waktu malam saya seperti alami imbauan detik nahas itu. Sampai sekarang jika balik atau pulang dari kampung, saya mengelak daripada menggunakan laluan nahas itu,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Menceritakan kejadian tersebut, Tuan Muhammad Adham, berkata ketika kejadian, beliau sedang tidur, namun hanya tersedar beberapa ketika selepas nahas berlaku dan mendapati dirinya sudah berada dalam longkang kecil di tepi jalan selepas tercampak keluar dari bas.
“Sebaik sedar daripada pengsan, saya berada di longkang, namun, susah hendak bangun sebelum ada pelajar menolong saya.
“Ketika itu, saya dapati ada pelajar sudah meninggal dunia, ada yang masih di dalam bas dan ada tercampak keluar,” katanya.
Bagi Wan Nor Masyitah Wan Hussin, 22 tahun, yang cedera tulang belakang menyusuli nahas itu, berkata biarpun kecederaan tidak menyebabkan pendarahan teruk, namun sehingga kini, ia mengubah rutin hariannya yang sebelum ini gemar bersukan.
Menurut pelajar Semester 4 kursus Pendidikan Islam itu, beliau masih terus memerlukan rawatan fisiologi susulan, namun, tetap bersyukur kerana masih berpeluang untuk terus hidup dengan menganggap musibah itu sebagai ujian.
“Sebelum ini, saya aktif bersukan, termasuk larian dan pendakian, namun selepas kemalangan itu saya tidak dapat aktif seperti biasa. Selepas tiga bulan kemalangan, baru saya boleh berjalan dan selepas enam bulan baru berjalan sepenuhnya,” katanya.
Wan Nor Masyitah mengakui masih trauma menaiki bas selepas kejadian itu, serta mengelak daripada kembali melalui laluan itu, jika ingin pulang atau kembali ke kampung halamannya di Kampung Lahar, Besut, Terengganu.
