JERTIH: Sebuah galeri khas akan diwujudkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan dinamakan sempena pelajarnya Allahyarhamah Nurly Sahirah Azman, yang terkorban dalam kemalangan tragik di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik, Perak, pada Jun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata Galeri Nurly Sahirah itu akan ditempatkan di bangunan baru fakulti UPSI, Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (I-Furqan), yang dijangka siap pada awal 2027.
“Galeri ini diwujudkan sebagai penghargaan UPSI kepada pelajar cemerlang ini, yang diketahui meninggal dunia dalam keadaan memeluk erat al-Quran.
“Jika diizinkan oleh kedua ibu bapanya, pihak universiti akan menempatkan mushaf al-Quran yang ditulis sendiri oleh Allahyarhamah, selain koleksi mushaf lain. Galeri ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada para huffaz untuk menghafal al-Quran melalui penulisan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas mengunjungi keluarga Nurly Sahirah di Kampung Gong Pasir, Kerandang, dekat sini pada 5 Julai.
Mengulas lanjut, beliau berkata galeri tersebut bukan sahaja akan mempamerkan mushaf tulisan tangan Nurly Sahirah, malah turut menempatkan koleksi mushaf al-Quran dan kitab-kitab agama sebagai rujukan pelajar serta pihak berkepentingan.
Beliau turut menyeru orang ramai termasuk pihak swasta agar tampil menyumbang secara wakaf bagi memperkukuh pelaksanaan penubuhan galeri berkenaan.
Dalam pada itu, Dr Mohd Na’im mengajak masyarakat, khususnya golongan muda supaya mengambil iktibar dan mencontohi akhlak serta kecintaan Allahyarhamah terhadap al-Quran.
Allahyarhamah Nurly Sahirah, 23 tahun, merupakan antara 15 penuntut UPSI yang terkorban dalam nahas pada awal pagi 9 Jun lepas, apabila bas sewa khas dari Jertih yang membawa mereka pulang ke kampus utama di Tanjong Malim terbalik selepas bertembung dengan sebuah Perodua Alza di JRTB.
Kejadian itu turut menyebabkan 33 individu cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg