KOTA BHARU (Kelantan): Sindiket penyeludupan kereta dari Singapura dikesan menawarkan jualan kenderaan pada harga potongan 30 hingga 40 peratus bagi memancing pembeli Malaysia.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata hasil siasatan mendapati penyeludup menempatkan kereta di beberapa kawasan di sekitar Johor Bahru sebelum diedarkan kepada pelanggan seluruh Malaysia.
Beliau berkata JKDM Kelantan sebelum ini merampas sembilan kereta seludup berjenama di Johor Bahru yang bernilai RM1.46 juta ($440,000) dalam tempoh seminggu pada Mei lalu, hasil maklumat daripada orang awam.
“Antara kereta yang dirampas ialah BMW 325, Porsche Panamera, Audi A5, Jaguar, Mercedez Benz dan Suzuki Swift yang dijual serendah RM25,000 sehingga RM800,000. Kesemua kenderaan yang dirampas disyaki membabitkan sindiket penyeludupan kereta yang sama.
“Kesemua kenderaan ini diklasifikasikan sebagai barang larangan import yang tertakluk di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import 2023) dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Pelaku yang disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari dua ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kededuanya sekali bagi kesalahan pertama,” katanya lapor Harian Metro.
Wan Jamal berkata orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati jika mahu membeli kenderaan terutama berjenama sekiranya ditawarkan pada harga murah, selain perlu merujuk pihak berkaitan.
Dalam perkembangan lain, Wan Jamal berkongsi kejayaan JKDM Kelantan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM21.3 juta bermula Januari hingga 31 Ogos 2025.
“Dadah mencatat rampasan tertinggi dengan membabit 27 kes yang kebiasaannya dibawa melalui jalan sungai di sempadan Malaysia-Thailand.
“Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya dadah, rokok, minuman keras, mercun, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.
“Penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg