Topik diikuti
Pergi ke BHkuSistem pesanan makanan restoran Rembayung tergendala, jejas ratusan pelanggan
Sistem pesanan makanan restoran Rembayung tergendala, jejas ratusan pelanggan
Khairul Aming mohon maaf selepas operasi restoran terjejas buat kali pertama dalam tempoh 6 bulan
Sistem pesanan makanan restoran Rembayung tergendala, jejas ratusan pelanggan
Restoran Rembayung milik usahawan dan pempengaruh popular Malaysia, Khairul Aming, berdepan gangguan operasi apabila sistem pesanan makanan yang digunakan premis itu mengalami masalah buat kali pertama sejak ia mula beroperasi enam bulan lalu.
Masalah itu menyebabkan kesesakan di Rembayung apabila pelanggan lewat menerima tempahan makanan, manakala ratusan lagi terpaksa menunggu di pekarangan restoran.
Khairul Aming menerusi hantaran di aplikasi Threads, berkata gangguan sistem itu menyebabkan semua pesanan pelanggan gagal dipaparkan pada sistem di dapur, sekali gus memaksa kakitangannya menulis setiap pesanan secara manual.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan penyediaan makanan bagi pelanggan slot makan tengah hari pada 1 Julai mengalami kelewatan, manakala pelanggan bagi slot 2 petang ke atas turut terjejas apabila pesanan mereka lewat diproses.
Khairul Aming membuat penjelasan itu ketika membalas satu hantaran pengguna Threads, @sherryzirx_, yang memuat naik status:
“Rembayung system down guys (sistem tergendala), dah macam rusuhan, semua ni slot 2 petang ke atas tak dapat masuk. Lain macam.”
Pengguna Thread yang sama turut berkongsi gambar menunjukkan pekarangan Rembayung di Kampung Baru, Kuala Lumpur, itu dipenuhi pelanggan yang tidak dapat masuk mengikut waktu tempahan berikutan kelewatan penyediaan makanan akibat kegagalan sistem tempat jualan, StoreHub POS (Point-Of-Sale) itu.
Mengulas mengenainya, Khairul Aming, atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman, berkata gangguan itu merupakan kali pertama berlaku sejak Rembayung memulakan operasi pada 6 Januari lalu dan memohon maaf kepada pelanggan yang terjejas akibat kelewatan berkenaan.
“Mohon maaf hari ini huru-hara waktu lunch (makan tengah hari).
“Sepanjang enam bulan berniaga, hari ini pertama kali sistem StoreHub POS tergendala dengan semua pesanan tak masuk ke dapur.
“Kami kena tulis secara manual satu per satu pesanan menyebabkan makanan slot tengah hari delay (lewat) dan slot 2 petang terjejas masuk lambat,” katanya.
Bagaimanapun, jelas usahawan berusia 33 tahun itu, keadaan lebih terkawal untuk slot 4.30 petang ke atas, walaupun sistem masih tergendala.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna Thread memahami keadaan yang berlaku dan menyifatkan kegagalan sistem sedemikian sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan di luar jangkaan.
“Sedangkan sistem penerbangan, bank pun boleh tergendala.
“Apalagi sistem kedai makan. Inilah risiko untuk semua perniagaan yang bergantung kepada sistem.
“Kita nak tambah nilai Touch ‘n Go pun kadangkala tergendala”, tulis pengguna Thread, @shidagrey.
Pengguna dengan nama, @janice.lee0806, pula menulis:
“Okey je. Setiap perniagaan ada hiccups (cabaran) tersendiri. Kami sokong kamu!”
Seorang lagi pengguna, @nadiahhasbi, berkata:
“Ha tengok, ini contoh crowd (orang berkerumun) yang akan ada kalau Khairul Aming buka walk-in (datang terus).”
Sejak dibuka, restoran Rembayung yang menerima lebih 1,000 pelanggan setiap hari menggunakan sistem tempahan dalam talian dan tidak membenarkan walk-in untuk mengelakkan kesesakan dan masalah keselamatan, selain melancarkan operasi dan keselesaan pelanggan.
