Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bakti: Yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima

Demi rasa tanggungjawab dan amanah, mereka lakukan apa sahaja untuk membantu orang tersayang dan golongan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat. Tujuh individu dan keluarga berkongsi kisah pengorbanan dan bakti mereka sempen Lebaran ini.
Apr 1, 2025 | 2:53 PM
Demi rasa tanggungjawab dan amanah, mereka lakukan apa sahaja untuk membantu orang tersayang dan golongan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat. Tujuh individu dan keluarga berkongsi kisah pengorbanan dan bakti mereka se
Demi rasa tanggungjawab dan amanah, mereka lakukan apa sahaja untuk membantu orang tersayang dan golongan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat. Tujuh individu dan keluarga berkongsi kisah pengorbanan dan bakti mereka se - KONSEP BH Oleh Samad Afandie

Berkerusi roda tapi tetap jaga ibu, luang masa jadi relawan

Dengan perlahan, beliau mengheret kedua-dua kakinya dari sofa ke lantai, sebelum mengisut dan merangkak ke arah kerusi roda yang terletak dekat pintu depan rumahnya. 

Kemudian, dengan penuh hati-hati, beliau mengheret punggung untuk duduk di kerusi roda itu, sambil menarik beg stoma, iaitu sejenis kantung kecil kalis air untuk mengumpul sisa tubuhnya yang dilekatkan pada bahagian bawah badannya. 

Selepas beberapa minit melakukan segala itu barulah beliau sedia untuk keluar dari rumah.

Begitulah keadaan Encik Mohamed Zahid Mohd Yassin, 40 tahun, yang dilahirkan dengan penyakit spina bifida, keadaan yang menyebabkan kakinya lumpuh.

Encik Mohamed Zahid Mohd Yassin dilahirkan dengan kakinya lumpuh dan perlu dibantu oleh ibunya, Cik Zarimah Mohamed Harun, untuk ke mana-mana. Pengalaman ini mendorong beliau memutuskan untuk menggalas tanggungjawab menjaga ibunya sebagai cara membalas budi orang tuanya.
Encik Mohamed Zahid Mohd Yassin dilahirkan dengan kakinya lumpuh dan perlu dibantu oleh ibunya, Cik Zarimah Mohamed Harun, untuk ke mana-mana. Pengalaman ini mendorong beliau memutuskan untuk menggalas tanggungjawab menjaga ibunya sebagai cara membalas budi orang tuanya. - Foto BH oleh KHALID BABA

Encik Zahir tinggal bersama ibunya, Cik Zarimah Mohamed Harun, 66 tahun, di flat tiga bilik di Punggol yang dimilikinya sejak tahun 2020.

Walaupun beliau mempunyai empat adik beradik yang turut menghulurkan bantuan, Encik Zahid tetap memutuskan untuk menjaga orang tuanya itu.

“Sejak kecil lagi, saya telah menyaksikan betapa susah kehidupan mereka, terutamanya saya seorang kurang upaya,” kata Encik Zahid kepada Berita Harian (BH) baru-baru ini.

Baca laporan lanjut di sini.

Terharu usaha beri makanan kepada pekerja penghantaran, penduduk raih sokongan


Cik Dayana Shahirah Ridwan merupakan pengasas, ‘Bites of Kindness’, projek yang dimulakannya pada 2022 untuk mengagihkan makanan kepada pekerja penghantaran dan penduduk di Bayview, Sumang Walk di Punggol.
Cik Dayana Shahirah Ridwan merupakan pengasas, ‘Bites of Kindness’, projek yang dimulakannya pada 2022 untuk mengagihkan makanan kepada pekerja penghantaran dan penduduk di Bayview, Sumang Walk di Punggol. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Menabur bakti kepada orang lain mungkin telah lama sebati dengan jiwa Cik Dayana Shahirah Ridwan.

Sejak di bangku sekolah menengah lagi, Cik Dayana menyaksikan wajah ceria ibu bapanya, kededuanya sukarelawan di Masjid Al-Istiqamah, menyiapkan juadah berbuka puasa untuk jemaah.

Kemudian, beliau akan menemani ibunya, Cik Nooraisah Peer Mohd, dan bapanya, Encik Ridwan Abdul Razak ke masjid untuk mengagihkan makanan itu dan bergotong-royong bersama relawan lain untuk membuat persiapan untuk berbuka.

“Walaupun masih kecil, saya dapat lihat betapa bahagianya ibu bapa saya apabila mereka siapkan makanan dengan sukarelawan lain di masjid.

“Saya pun nak ikut sibuk juga, lihat mereka bungkus makanan, saya pun nak bungkus walaupun saya tak tahu macam mana,” kongsi Cik Dayana semasa Berita Harian (BH) melawat ke rumahnya yang terletak di Bayview, Sumang Walk, Punggol.

Beliau akur ada keinginan untuk meneruskan usaha menabur bakti kepada masyarakat dan pada masa yang sama, ingin mengajar anak-anaknya peri penting berbuat demikian.

Justeru, sejak 2022, Cik Dayana memulakan projek ‘Bites of Kindness’ sempena Ramadan yang bermatlamat untuk menyediakan bungkusan makanan dan mengagihkannya kepada pekerja penghantaran dan penduduk di estet kejiranannya di Punggol.

Berbekal bajet yang terhad - sekitar $20-$80 - beliau dan sekumpulan enam hingga 10 wanita yang menggelar diri mereka ‘Bayview Sisters’ akan menyediakan sekurang-kurangnya 30 bungkusan makanan ‘mudah’ seperti nasi goreng atau mi goreng, minuman paket dan makanan pencuci mulut pada setiap minggu sepanjang Ramadan.

Baca laporan lanjut di sini

Menanti panggilan ‘Mama, Baba’, pasangan berkorban demi anak

Pasangan suami isteri, Encik Mohammad Razib Samsudin, 56 tahun, dan Cik Anisah Salim, 55 tahun, mendambakan panggilan ‘Mama dan Baba’ daripada anak kedua mereka, Cik Nuruljannah (berkerusi roda). Potret keluarga itu menjadi kenangan keadaan Cik Nuruljannah sebelum ditimpa tragedi.
Pasangan suami isteri, Encik Mohammad Razib Samsudin, 56 tahun, dan Cik Anisah Salim, 55 tahun, mendambakan panggilan ‘Mama dan Baba’ daripada anak kedua mereka, Cik Nuruljannah (berkerusi roda). Potret keluarga itu menjadi kenangan keadaan Cik Nuruljannah sebelum ditimpa tragedi. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Mama dan Baba – dua perkataan yang masih dinantikan oleh sepasang suami isteri, dengan harapan anak mereka dapat mengungkapkannya semula satu hari nanti.

Namun, tinggi harapan, tinggi lagi cabaran untuk mencapainya.

Bagi pasangan suami isteri, Encik Mohammad Razib Samsudin, 56 tahun, dan Cik Anisah Salim, 55 tahun, yang mempunyai tiga anak, ia satu kerinduan yang telah lama terpendam sejak 2019.

Anak kedua mereka, Cik Nuruljannah Mohammad Razib, 28 tahun, terlibat dalam satu kemalangan motosikal pada 11 Februari 2019.

Akibatnya, beliau mengalami kecederaan otak traumatik serta keretakan tengkorak, selain kecederaan pada tulang belakang, tangan dan wajah.

Demi memberi perhatian sepenuhnya kepada puteri mereka, pasangan itu mengambil keputusan untuk berhenti bekerja secara tetap.

Dengan penuh kecekalan, Encik Razib berkata:

“Dalam situasi Jannah, beliau memerlukan penjagaan yang rapi... oleh itu, sebagai ibu bapa, kami mahu pastikan beliau dapat mutu hidup yang terbaik.”

Baca laporan lanjut di sini.

Sukarelawan program Fitrah dampingi bekas banduan tuju perubahan hidup

Encik Mohamed Fawzi Ali, pendamping program Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah), membina hubungan yang kukuh dan membantu bekas pesalah agar dapat bersepadu semula dengan masyarakat selepas keluar dari penjara.
Encik Mohamed Fawzi Ali, pendamping program Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah), membina hubungan yang kukuh dan membantu bekas pesalah agar dapat bersepadu semula dengan masyarakat selepas keluar dari penjara. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Sebagai seorang pendamping, Encik Mohamed Fawzi Ali, melihat dirinya bukan sebagai kaunselor, malah sebagai kawan.

Pegawai pos berusia 55 tahun itu mula berdamping dengan bekas pesalah dalam perjalanan mereka bersepadu semula dengan masyarakat pada 2011, bersama Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).

Sebagai pendamping bersama dengan Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah) pula, Encik Fawzi telah menjadi sukarelawan di situ sejak 2019.

Menyingkap perjalanannya bersama Berita Harian (BH), Encik Fawzi berkongsi bahawa beliau tertarik untuk menjadi pendamping setelah menyedari betapa kurangnya sokongan Melayu/Islam terhadap bekas pesalah.

“Saya mula berdamping dengan pesalah sejak 2011 selepas Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang ketika itu Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), mengajak kami untuk menjadi pendamping kepada pesalah-pesalah yang berada di penjara.

“Saya masih ingat satu pembentangan ketika itu yang menunjukkan bahawa jumlah pendamping Melayu/Islam bagi pesalah sangat rendah.

“Kalau bukan masyarakat kita, bangsa Melayu kita, untuk menjadi pendamping kepada pesalah-pesalah ini, siapa lagi, bukan?” ujar Encik Fawzi, yang menyifatkan tugas sebagai pendamping sebagai satu cabaran yang perlu disahutnya.

Beliau adalah salah seorang daripada sekitar 240 sukarelawan aktif dalam program pendamping atau ‘Befrienders Fitrah’, yang menyediakan sokongan menyeluruh kepada banduan Islam serta keluarga mereka, melalui perkhidmatan dalam penjara dan juga selepas mereka dibebaskan.

Laporan lanjut di sini.

Ibu tunggal tetap semangat sara keluarga sendirian walau berkerusi roda

Walaupun Cik Tuty Ayu Ibrahim (tengah) berkerusi roda akibat penyakit barah buah dada, beliau terus berjuang demi anak-anak dan ibunya, Cik Jaimah Ibrahim (dua dari kiri). Anak-anak Cik Tuty Ayu (dari kiri) Melissa Shahirah Ardi Yanto, Encik Kamarrul Aidil Abdullah (bersama anaknya, Umar El Zaviyar Kamarrul Aidil), Encik Ardi Hiryanto Ardi Yanto, dan Mellina Shahira Ardi Yanto.
Walaupun Cik Tuty Ayu Ibrahim (tengah) berkerusi roda akibat penyakit barah buah dada, beliau terus berjuang demi anak-anak dan ibunya, Cik Jaimah Ibrahim (dua dari kiri). Anak-anak Cik Tuty Ayu (dari kiri) Melissa Shahirah Ardi Yanto, Encik Kamarrul Aidil Abdullah (bersama anaknya, Umar El Zaviyar Kamarrul Aidil), Encik Ardi Hiryanto Ardi Yanto, dan Mellina Shahira Ardi Yanto. - Foto BH oleh KHALID BABA

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga – itulah hakikat pahit yang dilalui seorang ibu tunggal, Cik Tuty Ayu Ibrahim, 49 tahun.

Selain membesarkan empat anak bersendirian, termasuk seorang anak perempuan berkeperluan khas, beliau turut menjaga ibunya yang mengalami cedera parah di kepala dan terpaksa berkerusi roda, ketika itu, susulan kemalangan pada 2019. 

Seolah-olah tanggungjawab itu belum cukup berat untuk dipikul, Cik Tuty disahkan menghidap penyakit barah buah dada tahap tiga pada 2023.

Kini bergantung pada kerusi roda yang menjadi teman hidupnya, beliau tetap mengutamakan keperluan keluarganya dan masih mampu mencurahkan tenaga untuk masyarakat sebagai sukarelawan di Kelab Masyarakat (CC) Whampoa di bawah Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), selagi kudrat mengizinkan. 

Walaupun menghadapi pelbagai ujian, Cik Tuty tetap tabah.

“Saya tak pernah rasa nak give up (berputus asa). Saya tahu ujian ini Allah beri, dan saya perlu teruskan… demi anak-anak, demi mak, dan demi diri saya sendiri,” jelasnya dalam satu temu bual bersama Berita Harian.

Beliau berpisah dengan suaminya sejak anak bongsunya berumur dua tahun pada 2011.

“Sayalah mak dan saya jugalah bapa kepada anak-anak.

“Banyak cabaran yang saya hadapi,” tambah beliau semasa ditemui di rumah flat satu biliknya.

Laporan lanjut di sini.

Korban Raya keluarga demi bawa ceria anak-anak rumah tumpangan

Meskipun terpaksa berkorban masa dengan keluarga dan anak-anak sendiri di rumah, Ketua Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM), Cik Rahmatunnisa Abdul Majeed, dan kakitangan rumah itu melihat penjagaan anak-anak RKM sebagai satu tanggungjawab dan amanah berat yang perlu dipikul dan dilaksanakan sebaik mungkin.
Meskipun terpaksa berkorban masa dengan keluarga dan anak-anak sendiri di rumah, Ketua Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM), Cik Rahmatunnisa Abdul Majeed, dan kakitangan rumah itu melihat penjagaan anak-anak RKM sebagai satu tanggungjawab dan amanah berat yang perlu dipikul dan dilaksanakan sebaik mungkin. - Foto BH oleh KHALID BABA

Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan meriah yang diraikan bersama keluarga, dengan kunjung-mengunjungi sanak saudara untuk mengeratkan silaturahim.

Namun, tidak semua orang dapat menikmati suasana syahdu Lebaran bersama keluarga.

Bagi segelintir anak-anak Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM), Hari Raya mereka disambut di rumah kebajikan tersebut, jauh daripada pangkuan keluarga tersayang.

Meskipun tidak di samping keluarga, Hari Raya Aidilfitri mereka tidak sepi.

Ketua rumah tersebut, Cik Rahmatunnisa Abdul Majeed, seiring kakitangan RKM, sama-sama membawa keceriaan kepada penghuni tersebut dengan mengatur kegiatan sepanjang hari untuk mereka.

Ia termasuk menyediakan lauk-pauk Hari Raya pada malam dan pagi Raya, bermain bunga api, solat bersama di pagi Raya, mengadakan tayangan filem, dan mengajak mereka berjalan Raya ke rumah kakitangan.

Bahkan, beberapa kakitangan RKM turut mengorbankan masa bersama keluarga untuk menemani anak-anak tersebut pada Hari Raya.

“Bagi keluarga biasa, kita ada keluarga di rumah dan bila Hari Raya, kita berkumpul bersama. Tetapi untuk anak-anak di sini, tak semua yang dapat pengalaman begitu.

“Ada yang kehilangan ibu bapa, dan ada yang tidak dapat kembali kepada keluarga atas dasar-dasar keselamatan dan sebagainya,” kata Cik Rahmatunnisa, yang telah berkhidmat di RKM selama tiga dekad.

“Oleh itu, antara kegiatan yang kita adakan adalah untuk menyediakan makanan Hari Raya, main bunga api dan sebagainya, untuk menghidupkan suasana Hari Raya.

“Itu antara yang kita lakukan di sini supaya mereka rasa normal, mereka rasa ada orang prihatin kepada mereka dan mereka dapat menjalani hidup seperti biasa.”

Laporan lanjut di sini.

Ibu bapa titipan kongsi kasih, temu bahagia pada usia persaraan

Rutin harian pasangan suami isteri warga emas, Encik Ridzwan Ahmad dan Cik Normala Mohd Noor, sejak 2022, termasuk menggalas tanggungjawab menjaga dua anak titipan seperti mempersiapkan mereka ke sekolah setiap hari.
Rutin harian pasangan suami isteri warga emas, Encik Ridzwan Ahmad dan Cik Normala Mohd Noor, sejak 2022, termasuk menggalas tanggungjawab menjaga dua anak titipan seperti mempersiapkan mereka ke sekolah setiap hari. - Foto-foto BH oleh KHALID BABA

Bagi kebanyakan pasangan yang meniti usia senja, persaraan sering dianggap sebagai fasa untuk beristirahat, menikmati ketenangan, dan meluangkan masa bersama keluarga.

Namun, bagi Cik Normala Mohd Noor, 65 tahun, dan Encik Ridzwan Ahmad, 67 tahun, mereka memilih menjadi ‘ibu bapa baru’ pada usia emas.

Mereka berusaha mencurahkan kasih sayang tanpa syarat kepada anak-anak titipan – seorang lelaki berusia 11 tahun, dan seorang perempuan berusia lapan tahun – sambil menyemai benih harapan dalam hati si cilik yang terluka dan mencari penawar.

Encik Ridzwan dan Cik Normala, yang mempunyai dua anak kandung berusia 37 dan 47 tahun, telah menjadikan rumah mereka di Teban Gardens sebagai tempat perlindungan dan penyembuhan sejak menjadi ibu bapa titipan pada 2022.

Keputusan itu tercetus apabila mereka mendengar pengalaman menyentuh jiwa ibu bapa titipan lain yang berbicara tentang kesusahan dan luka hati kanak-kanak yang dahagakan kasih sayang.

Sewaktu Berita Harian (BH) mengunjungi rumah mereka, Cik Normala boleh dilihat memeluk anak titipannya dengan penuh mesra, bagaikan si kecil itu anak kandung sendiri.

“Isteri saya (Cik Normala) memang suka budak-budak,” kata Encik Ridzwan.

“Jadi, apabila rakan-rakan kami, yang juga merupakan ibu bapa titipan bercerita tentang kesusahan kanak-kanak ini, timbul rasa kasihan.

“Hasrat kami adalah untuk berikan mereka tempat berlindung dan kasih sayang,” tambahnya.

Laporan lanjut di sini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg