SPRM bongkar rasuah rangkaian pusat urut terkemuka M’sia
SPRM bongkar rasuah rangkaian pusat urut terkemuka M’sia
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 121 akaun bank bernilai kira-kira RM11.5 juta ($3.7 juta), selepas lima individu direman bagi siasatan rasuah penguat kuasa membabitkan rangkaian pusat urut terkemuka.
SPRM menerusi kenyataan dimuat naik menerusi akaun rasmi TikTok suruhanjaya itu berkata perintah reman terhadap kesemua suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas permohonan dibuat oleh SPRM pada 28 Januari.
“Mahkamah membenarkan empat suspek direman selama empat hari sehingga 31 Januari, manakala seorang lagi suspek direman selama tiga hari sehingga 30 Januari bagi membantu siasatan lanjut.
“Kesemua suspek yang terdiri daripada pengarah syarikat serta pengurusan kanan beberapa entiti perniagaan, berusia lingkungan 30 hingga 50-an tahun ditahan pada 27 Januari, di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan itu, pada malam 28 Januari, lapor Harian Metro.
Pada 28 Januari, Bahagian Operasi Khas SPRM melaksanakan siasatan menerusi operasi bersepadu bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap rangkaian pusat urut yang mempunyai 32 cawangan di seluruh Malaysia dan dipercayai beroperasi sejak 2023.
Menurut TikTok SPRM, siasatan awal mendapati syarikat terbabit disyaki mengamalkan sistem perakaunan dua lapis, apabila sebahagian besar jualan tunai tidak dilaporkan, sekali gus menyebabkan anggaran kebocoran cukai sekitar RM7.56 juta setahun.
“Selain itu, siasatan turut mendapati berlaku pembayaran rasuah kepada pegawai penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melancarkan operasi syarikat serta sebagai wang perlindungan.
“Beberapa individu telah dikenal pasti dan tindakan lanjut sedang diambil.
“Sebagai sebahagian daripada tindakan siasatan, SPRM telah membekukan sebanyak 121 akaun bank, membabitkan akaun persendirian dan akaun syarikat berkaitan, dengan jumlah anggaran keseluruhan RM11.5 juta.
“Setakat ini, 12 kenyataan telah dirakamkan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Menurut SPRM, siasatan turut membabitkan pembekuan aset di Lembah Klang dan Johor yang disyaki diperolehi hasil daripada kegiatan pengubahan wang haram, meliputi lima kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM1.5 juta.
Selain itu, ia termasuk lima unit premis komersial bernilai kira-kira RM7.3 juta, dua unit hartanah perindustrian bernilai kira-kira RM2.3 juta, serta tujuh unit kediaman dengan nilai anggaran sekitar RM7.7 juta.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengesahkan operasi berkenaan sedang dijalankan dan memaklumkan siasatan memberi fokus kepada kesalahan mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009).
SPRM turut meneliti elemen kesalahan jenayah lain termasuk kegiatan pengubahan wang haram.

