Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPRM minta kerjasama S’pura kesan dalang utama kes ‘kontena terbang’ di M’sia

Jun 10, 2024 | 1:01 PM
Sindiket penyeludupan elak cukai terbesar di Pelabuhan Klang ini ditumpaskan oleh pasukan risikan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan nilai ketirisan beranggaran RM3.5 bilion ($1 bilion).
Sindiket penyeludupan elak cukai terbesar di Pelabuhan Klang ini ditumpaskan oleh pasukan risikan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan nilai ketirisan beranggaran RM3.5 bilion ($1 bilion). - Foto BERNAMA

PARIT (Perak): Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memohon bantuan pihak berkuasa Singapura bagi mengesan dan menangkap dalang utama sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang, Selangor.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata siasatan pihaknya mendapati sindiket yang menyebabkan ketirisan cukai dianggarkan bernilai kira-kira RM3.5 bilion ($1 bilion) itu didalangi suspek dari negara berkenaan.

Beliau berkata setakat ini tiada keperluan pihaknya untuk mendapatkan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) atau ekstradisi bagi menangkap suspek berkenaan.

“Tiada keperluan untuk minta bantuan Interpol. Kita sudah dapat jejak mereka (dan) seorang daripadanya adalah warga Singapura.

“Kerjasama dengan pihak berkuasa Singapura akan diperoleh untuk mengesan dan menangkap suspek kerana kededua negara ada kerjasama di bawah undang-undang.

“Di mana sekiranya suspek betul-betul berada di Singapura, kita akan minta pihak berkuasa Singapura untuk serahkan orang berkenaan kepada kita untuk tujuan siasatan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya telah menjalankan beberapa tangkapan membabitkan pegawai kastam dan ejen syarikat penghantaran yang dipercayai terlibat dalam kes ‘kontena terbang’ atau kontena lari cukai itu.

“Kita ada menjalankan beberapa tangkapan lagi, tidak silap saya empat ke lima tangkapan. Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai tangkapan itu akan saya berikan kemudian,” katanya.

Sementara itu mengulas sama ada kejadian 10 kontena terbakar di Pelabuhan Barat, Pulau Indah, Klang, pada 8 Jun, mempunyai kaitan dengan kes ‘kontena terbang’, beliau memberitahu tiada maklumat berkaitan perkara itu.

“Setakat ini saya tiada maklumat sama ada kebakaran tersebut mempunyai kaitan dengan kes yang kita sedang siasat,” ujar beliau.

Media sebelum ini melaporkan, seramai tujuh individu termasuk tiga pegawai agensi penguat kuasa ditahan SPRM selepas disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan barangan import terbesar membabitkan ketirisan cukai sekitar RM3.5 bilion kepada negara sejak 10 tahun lalu.

Laporan itu mendedahkan dalang sindiket itu ialah seorang warga Singapura dan kini masih berada di luar negara kerana bercuti bersama keluarga. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg