KUALA LUMPUR: Seorang ahli politik berpengaruh didakwa menyimpan lebih RM5 juta ($1.52 juta) dipercayai wang rasuah di safe house, iaitu beberapa unit kondominium dan premis di ibu negara.
Kegiatan itu terbongkar selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu tiga safe house yang menyimpan wang berkenaan, susulan siasatan terhadap dakwaan skandal konsesi perlombongan pasir di Selangor babitkan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
Dalam serbuan terkini pada 12 dan 13 Oktober, SPRM menemui wang tunai, termasuk mata wang asing berjumlah RM321,000 ketika menggeledah dua lagi safe house di sekitar ibu negara, selepas serbuan pertama di sebuah pangsapuri didakwa milik seorang ahli politik.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dedahkan wang Singapura berjumlah $74,000 (RM243,000) dan RM78,000 dirampas di dua lokasi berasingan di Lembah Klang.
Selain itu katanya SPRM juga mendapat maklumat ada wang yang jumlahnya tidak didedahkan, dilaburkan di Singapura.
“Dan juga mungkin ada dibuat penyimpanan di bank-bank lain. Yang ini sedang kita siasat,” katanya, lapor Malaysiakini.
Pada misi pertama 12 Oktober, SPRM menyerbu sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur yang disyaki digunakan sebagai tempat menyimpan wang rasuah dan menyita mata wang Singapura berjumlah $1.53 juta (RM5 juta).
Wang itu dikatakan untuk membiayai kegiatan politik seorang pemimpin pembangkang.
Terdahulu SPRM menahan bekas pegawai kanan di MBI, ahli perniagaan yang rapat dengan seorang pemimpin politik, seorang pemandu serta pegawai syarikat penerima konsesi, yang membawa kepada penemuan safe house dan wang berkenaan.
Semua mereka berumur 40-an dan setakat ini seramai 15 orang telah dipanggil memberikan keterangan.
SPRM juga akan memanggil ahli politik yang dikaitkan dengan seorang daripada empat suspek selepas ini.
“Dia akan dipanggil pada satu masa yang difikirkan sesuai oleh pegawai penyiasat saya. Sekarang ini pun lebih kurang 15 saksi telah dipanggil. Saya jangka ramai lagi saksi akan dipanggil untuk penyiasatan.
“Seperti lazimnya, SPRM perlu mendapatkan segala bukti yang dirasakan wajar dan telah disahkan sebelum memanggil individu yang berkenaan untuk membantu siasatan,” kata Tan Sri Azam.
Selain Akta Pencegahan Rasuah 2009 di bawah Seksyen 16, SPRM juga akan membuka beberapa kertas siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg