SPRM siasat 10 kes mega, profil tinggi sejak 2025
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 10 kes besar dan berprofil tinggi telah dikenakan tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Januari 2025 hingga kini, sekali gus membuktikan komitmen agensi itu dalam memerangi rasuah di Malaysia.
Kejayaan itu dijangka disusuli beberapa lagi siasatan mega sepanjang 2026, sekali gus meneruskan momentum kecemerlangan agensi antirasuah itu pada 2025 yang disifatkan sebagai tahun paling cemerlang sejak penubuhannya.
Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki, sebelum ini mengakui 2025 sebagai tahun terbaik agensi itu, dengan sekurang-kurangnya sembilan kes mega dan berprofil tinggi dikenakan tindakan mengikut undang-undang, termasuk membabitkan pegawai kanan kerajaan.
Sepanjang 2025, SPRM menyita kira-kira RM567 juta ($184.5 juta) mengikut Akta SPRM 2009 serta RM6.3 bilion mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Selain itu, pembekuan aset di bawah AMLATFPUAA berjumlah RM36.14 juta, manakala lucut hak membabitkan RM7.14 juta (Akta SPRM), RM175,120 (AMLATFPUAA) serta RM175,140 mengikut Kanun Tatacara Jenayah dan lain-lain peruntukan.
Bagi kompaun pula, jumlah keseluruhan mencecah RM49.58 juta, selain kira-kira RM1.5 bilion diperoleh menerusi kaedah lain pemulihan aset, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Sehingga November 2025, SPRM membuka 966 kertas siasatan daripada 6,114 aduan diterima. Seramai 1,128 individu ditahan, dengan 445 daripadanya didakwa dan 189 disabitkan kesalahan.
Daripada jumlah tahanan itu, 423 adalah penjawat awam, orang awam (163), sektor swasta (504), syarikat berkaitan kerajaan atau GLC (34) dan ahli politik (empat). Seramai 904 yang ditahan adalah lelaki, manakala 224 pula wanita.
Antara kes yang menggemparkan Malaysia pada 2025 termasuk siasatan terhadap dakwaan penyalahgunaan Dana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membabitkan beberapa pegawai tertinggi, termasuk Panglima Angkatan Tentera, Panglima Angkatan Tentera Darat dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan.
Antara kes berprofil tinggi pada 2025 ialah siasatan terhadap Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, membabitkan rampasan wang tunai kira-kira RM169 juta serta 16 kilogram jongkong emas yang ditemukan di sebuah premis yang dipercayai merupakan ‘rumah kebal’ atau tempat persembunyian dan penyeludupan barangan.
Pada 1 Oktober 2025, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan wang yang disita itu dilucut hak kepada kerajaan selepas tiada pihak tampil menuntutnya.
BHM juga melaporkan, kes seorang tokoh kewangan Islam negara, Tan Sri Daud Bakar, yang ditahan pada Januari lalu (2026) bagi membantu siasatan penipuan pelaburan berjumlah RM300 juta.
Siasatan transaksi kewangan serta pemilikan aset luar negara yang dianggarkan bernilai RM2.5 bilion pula membabitkan konglomerat hartanah Malaysia, IJM Corporation Berhad. Susulan kes itu, ia turut membawa kepada penahanan pengurusan tertingginya.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM pada 12 Februari lalu menahan bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka bagi membantu siasatan kes suapan RM3 juta sebagai balasan membantu urusan konsesi penambakan laut.
SPRM juga menahan seorang Exco kerajaan Terengganu pada 22 Februari lalu kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukan. Ini membawa kepada pendakwaannya di mahkamah.

