Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPRM siasat 14 syarikat salah guna lesen import, beku akaun bank RM218j

Sep 2, 2025 | 3:08 PM
SPRM, syarikat salah guna lesen import, jenayah
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin.  - Foto SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan sejumlah RM218 juta ($66.24 juta) akaun bank milik individu dan syarikat, serta menggantung beberapa lesen import yang disalah guna dalam kegiatan import rokok, tembakau dan cerut secara tidak sah.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, berkata tindakan itu diambil menerusi Op Sikaro yang menyasarkan 14 syarikat disyaki menyalahgunakan lesen import sah.

Beliau berkata siasatan mendapati syarikat terbabit beroperasi dengan berselindung di sebalik lesen sah, namun menggunakan taktik pengisytiharan palsu termasuk menukar kod kastam dan butiran barangan bagi mengelak pembayaran cukai sebenar.

“Selain pengisytiharan palsu, sindiket ini juga dipercayai terbabit dalam penyeludupan tembakau, cerut, rokok dan minuman keras yang disimpan di gudang persendirian sebelum diedarkan ke pasaran,” katanya dalam kenyataan pada 1 September, lapor Malaysiakini.

Datuk Mohamad Zamri berkata siasatan juga memberi fokus kepada peranan ejen penghantaran yang dipercayai beroperasi tanpa lesen dan terlibat dalam penyelewengan serta penipuan dokumen bagi membantu memudahkan aktiviti haram berkenaan.

Beliau berkata kegiatan sindiket itu dipercayai menyebabkan kerugian lebih RM250 juta hasil cukai kerajaan bagi tempoh 2020 hingga 2024, hanya melibatkan tembakau dan cerut, serta jumlah kerugian keseluruhan dijangka lebih tinggi.

“Kes seperti ini menjadi skop utama kerana ia menjejas hasil negara, iaitu wang yang sepatutnya digunakan untuk manfaat rakyat dan pembangunan negara. Justeru, SPRM tidak boleh berkompromi dalam isu rasuah, pengubahan wang haram atau penyeludupan,” katanya.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Sementara itu dalam perkembangan lain, SPRM Pulau Pinang pada 1 September menahan lima anggota polis termasuk seorang pegawai kanan yang disyaki meminta dan menerima rasuah hampir RM9,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan atas kesalahan memiliki motosikal curi.

Menurut sumber SPRM, kelima-lima suspek lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40-an tahun itu ditahan antara 2 hingga 5 petang di pejabat SPRM Pulau Pinang di George Town, ketika hadir memberi keterangan.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy, mengesahkan penahanan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg