Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPRM siasat kartel bekal susu tepung tak penuhi piawaian bernilai RM120j

Jul 11, 2025 | 1:16 PM
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes penyelewengan dalam tender pembekalan susu tepung di Malaysia.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes penyelewengan dalam tender pembekalan susu tepung di Malaysia. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kartel pembekalan susu tepung kepada sebuah jabatan kerajaan, yang tidak mematuhi piawaian bernilai kira-kira RM120 juta ($36 juta).

Syarikat pembekal susu tepung dipercayai memonopoli pasaran Malaysia serta memanipulasi harga antara 10 hingga 50 peratus dalam kontrak tender kepada sebuah jabatan kerajaan.

Menurut sumber, syarikat itu dimiliki pasangan suami isteri bersama seorang anak selaku pemegang saham, dan terbabit dalam pembekalan produk susu tepung bernilai kira-kira RM120 juta yang tidak memenuhi piawaian Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).

“Fokus siasatan bertumpu kepada isu cukai, unsur rasuah serta amalan monopoli harga dalam pembekalan tender susu tepung kepada jabatan kerajaan.

“Selain mengenal pasti modus operandi pemilikan syarikat, siasatan turut menjurus kepada hubungan perniagaan dengan pengedar lain yang berperanan dalam rantaian bekalan,” kata sumber itu, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Katanya, syarikat disyaki memanipulasi harga bekalan termasuk meningkatkan harga antara 10 hingga 50 peratus mengikut zon penghantaran.

Sumber berkata nilai sitaan akaun oleh SPRM dalam siasatan kes itu terhadap syarikat didalangi tiga sekeluarga kini mencecah RM174.6 juta.

Dalam perkembangan lain SPRM turut menyita beberapa hartanah dianggar bernilai lebih RM620 juta dalam siasatan Op Fibre membabitkan pinjaman sebuah bank.

Antara hartanah yang disita ialah banglo, kondominium, premis pejabat, lot tanah dan kelab golf di sekitar Lembah Klang, selain empat unit kenderaan mewah bernilai kira-kira RM2 juta.

Siasatan Op Fibre dibuat menyusuli kelulusan pembiayaan pinjaman institusi perbankan kepada sebuah syarikat membabitkan projek pembangunan rangkaian gentian pada 2012 bernilai kira-kira RM400 juta, lapor BHM.

Sebelum ini, BHM melaporkan sebuah bank tempatan yang ada kaitan dengan kerajaan dipercayai kerugian sekurang-kurangnya RM400 juta selepas pinjaman yang dikeluarkan kepada sebuah syarikat penyedia rangkaian kemudahan telekomunikasi bagi melaksanakan projek diseleweng.

Bank terbabit mengeluarkan pinjaman kepada syarikat itu bagi melaksanakan kemudahan kabel gentian optik yang nilai sekitar RM1.3 bilion pada 13 tahun lalu tetapi projek berkenaan tidak pernah bermula.

Difahamkan, projek swasta itu berkaitan pemasangan talian gentian optik di kawasan pantai Semenanjung sejauh 30,000 kilometer, bertujuan meningkatkan keupayaan jalur lebar Malaysia termasuk menghubungkan negara Asia Tenggara ketika itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg