Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPRM tahan sindiket bawa masuk warga asing ke M’sia di KLIA

Jul 16, 2025 | 1:24 PM
Malaysia, SPRM, sindiket, warga asing, KLIA, pendatang haram
Dua suspek warga Bangladesh yang ditahan kerana disyaki mendalangi sindiket kemasukan warga asing dengan memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA 1) ditahan reman sehingga 20 Julai. - Foto SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua warga Bangladesh termasuk seorang pengarah syarikat pelancongan disyaki mendalangi sindiket kemasukan warga asing ke Malaysia, dengan memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA 1).

Pegawai Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret Putrajaya, Shaik Zuladdruse Merican Sadzol Othman Merican, membenarkan permohonan SPRM supaya kededua suspek direman enam hari bermula 15 Julai.

Menurut sumber SPRM, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an tahun itu ditahan dalam operasi di Negeri Sembilan pada 13 Julai dan dipercayai menjadi ejen warga asing yang memberi rasuah kepada penguat kuasa di KLIA bagi memudahkan urusan kemasukan warga asing secara haram di pintu masuk Malaysia.

“Modus operandi yang digunakan sindiket ini ialah mendekati pegawai penguat kuasa di KLIA bagi menjalankan kegiatan counter setting, yang mana pegawai terbabit akan memudahkan proses pemeriksaan warga asing tersebut,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Counter setting merupakan proses yang mana individu terpilih dibenarkan melalui kaunter pemeriksaan tanpa melalui prosedur yang sepatutnya.

Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin, mengesahkan penahanan itu dalam Op Recruit dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA serta Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen.

Menurut sumber, operasi yang turut disertai anggota Skuad Taktikal Antirasuah (ACTS) berpandukan maklumat hasil risikan sejak awal 2025, turut menahan 29 warga asing yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Beliau berkata SPRM turut menyita tiga telefon bimbit dan pelbagai mata wang asing termasuk dolar Amerika Syarikat, rupiah (Indonesia) dan taka (Bangladesh) bernilai kira-kira RM16,000 ($4,837) dalam serbuan tersebut.

Menurut sumber lagi, bermula Januari hingga awal Julai 2025, SPRM turut mengesan sebanyak 10 transaksi berlaku dengan jumlah keseluruhan bernilai kira-kira RM138,000.

“Siasatan awal turut mendapati bagi setiap individu, pegawai penguat kuasa yang terlibat akan diberikan rasuah antara kira-kira RM1,800 hingga RM2,500.

“Pembayaran yang dilakukan oleh sindiket ini adalah secara tunai melalui orang tengah dan lokasinya adalah di dalam kenderaan dan juga premis kediaman suspek di sekitar Kuala Lumpur dan juga Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam pada itu Unit Komunikasi AKPS memaklumkan, 141 warga India, Indonesia, Sri Lanka dan Pakistan yang cuba memasuki Malaysia secara haram dengan menyalahgunakan kemudahan transit ditahan AKPS di KLIA2, pada 12 hingga 14 Julai lalu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg