Mulai 30 September, lebih 16 juta rakyat Malaysia bukan saja akan menikmati penurunan harga petrol RON95, bahkan bakal menyaksikan pelaksanaan langkah penyasaran subsidi bahan api itu bagi membendung isu ketirisan subsidi RON95 yang sekian lama berlarutan, khususnya melibatkan warga asing.
Mereka menyambut langkah itu dengan penuh rasa syukur, gembira dan lega.
Ramai menyifatkannya sebagai ‘hadiah’ yang ditunggu-tunggu terutama selepas kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan Malaysia pada November 2022, dengan ramai mengaitkannya sebagai janji pilihan raya yang akhirnya telah ditunaikan.
Malah, menerusi program yang dipanggil Budi Madani RON95 (Budi95) itu, kerajaan turut mengambil langkah drastik dan berani dengan melaksanakan penyasaran subsidi.
Ini bermakna, bermula tarikh sama, warga asing tidak lagi boleh menikmati subsidi petrol RON95 seperti warga Malaysia.
Ketua Pegawai Teknikal di sebuah syarikat swasta, Encik Mohd Hafizi Nazir, 44 tahun, menyifatkan Budi95 sebagai daya usaha yang sepatutnya sudah lama dilaksanakan terutama oleh pentadbiran kerajaan terdahulu.
Beliau menyifatkan Malaysia sebagai negara pemurah apabila banyak barangan dan kemudahan subsidi turut dinikmati warga asing sejak sekian lama.
“Alhamdulillah, terima kasih kerajaan tunai janji. Tentunya kita rasa gembira kerana penurunan harga petrol RON95 nanti dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
“Tetapi apa yang paling menarik perhatian ialah penyasaran subsidi di mana warga asing tidak lagi dapat menikmati harga petrol RON95 sama seperti warga Malaysia.
“Sepatutnya perkara ini sudah lama dibuat kerana warga asing yang bekerja di negara kita kebanyakannya tidak bayar cukai dan subsidi adalah hak rakyat Malaysia,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Malah Encik Mohd Hafiz turut menyarankan agar pelaksanaan penyasaran subsidi sama turut diaplikasikan kepada kemudahan subsidi lain yang sepatutnya hanya dinikmati warga Malaysia termasuk minyak masak peket dan gas memasak.
Pemandu kenderaan swasta, Cik Ruzaimah Rohani, 50 tahun, memanjatkan kesyukuran dengan pelaksanaan Budi95, namun mengakui rasa berdebar menantikan perincian lanjut untuk subsidi petrol yang boleh dinikmati golongan sepertinya yang mencari rezeki sebagai pemandu Grab.
“Terima kasih kerajaan kerana prihatin dengan isu kos sara hidup rakyat.
“Subsidi yang selama ini turut mengalir kepada warga asing nanti boleh disalurkan kepada keperluan pembangunan dan bantuan rakyat Malaysia.
“Cuma macam kes saya sebagai pemandu Grab, had 300 liter sebulan itu tidak mencukupi kerana saya menggunakan sekurang-kurangnya 700 liter petrol RON95 setiap bulan dengan kos kira-kira RM50 sehari.
“Justeru saya harap kerajaan beri kelonggaran kepada golongan pekerja khidmat penghantaran seperti kami,” katanya.
Bagi peniaga air balang, Encik Haidzir Ahmad Hamdan, 41 tahun, pula berkata sebagai peniaga kecil dengan pendapatan sederhana, penurunan harga petrol itu amat membantu meringankan kos sara hidup.
“Pengurangan enam sen harga petrol itu (daripada RM2.05 kepada RM1.99) mungkin tidak ketara bagi orang lain, tetapi besar maknanya bagi peniaga kecil seperti kami.
“Saya harap kerajaan kekalkan pendekatan ini terutama perbezaan harga untuk warga Malaysia dan asing,” katanya.
Sementara itu, pekerja stesen minyak Petronas di Sungai Besi, Kuala Lumpur, Cik Siti Rahayu Othman, 43 tahun, berkata mereka sudah diberikan penerangan mengenai sistem baru Budi95 dan teruja menantikan hari pelaksanaan pada 30 September.
“Kami juga tidak dibenarkan bercuti pada 30 September bagi memastikan kelancaran Budi95. Cuma di Petronas lebih mudah kerana pengguna yang sudah menggunakan aplikasi Setel hanya perlu mendaftarkan kad pengenalan sekali saja,” katanya kepada BH.
Penyelia sebuah stesen minyak Shell di Kuala Lumpur, Encik Muhammad Haziq Mohd Yusoff, pula berkata pihaknya akan menempatkan pembantu pam tambahan pada hari pelaksanaan Budi95 bagi membantu melancarkan proses pembelian petrol oleh pengguna.
“Kita juga akan sentiasa menempatkan pembantu pam minyak di luar untuk pastikan tiada kenderaan asing ambil kesempatan untuk membeli petrol RON95,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg