KUALA LUMPUR: Seramai 34 individu terkait Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH), termasuk pimpinan tertinggi rangkaian itu, akan ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) selepas tempoh reman mereka berakhir.
Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pada 25 September bahawa mereka semua akan ditahan selepas selesai menjalani tempoh reman.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperoleh lanjutan reman bagi siasatan terhadap ahli GISBH berkait Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, selama empat hari sehingga 29 September.
“Mereka yang ditahan ini merangkumi 24 ahli GISBH, termasuk individu yang memegang jawatan tertinggi.
“Dalam pada itu, berdasarkan keterangan yang diperoleh, seramai 34 tahanan yang selesai menjalani tempoh reman akan ditahan semula mengikut Sosma,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau juga berkata berdasarkan dapatan siasatan terkini PDRM, kaedah perniagaan GISBH dimudah cara dengan pegangan ‘Aurad Muhammadiah’ versi mereka sendiri.
Tan Sri Razarudin berkata pegangan rangkaian itu berlandaskan ketaasuban dan mendewakan pemimpin hingga memutarbelitkan ajaran sebenar Islam.
“Proses ini mirip seperti indoktrinasi yang mana menjadi nilai kehidupan yang dipercayai dan dianuti sepenuh hati oleh pengikut-pengikutnya,” ujarnya.
“Doktrin ini sangat berbahaya kepada keselamatan negara, khususnya ajaran agama Islam di negara ini, dan kebajikan serta masa depan bergantung sepenuhnya pada pemimpin-pemimpin mereka sahaja,” tambah beliau.
Selain itu, PDRM mendapati GISBH tidak pernah membayar cukai berkaitan perniagaan mereka.
Menurut Tan Sri Razarudin, maklumat itu diperoleh berdasarkan kerjasama antara PDRM dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“GISBH tidak pernah membayar cukai yang berkaitan dan maklumat itu adalah selari dengan siasatan PDRM yang dijalankan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya.
Beliau, bagaimanapun, tidak mengulas lanjut sejak bila dan jumlah kutipan cukai gagal dijelaskan oleh GISBH.
Tan Sri Razarudin berkata PDRM juga menggesa masyarakat supaya menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan kes GISBH kepada polis.
“PDRM turut menasihatkan kepada tahanan yang dibebaskan dengan jaminan supaya tampil kepada polis jika memerlukan sokongan kebajikan.
“Kami (PDRM) komited membawa individu yang bertanggungjawab ke muka pengadilan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan keamanan dan ketenteraman awam masyarakat terus kekal terpelihara,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengesan lapan premis digunakan GISBH dan didaftarkan sebagai Sekolah Islam Persendirian mengikut Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 (Epsai 1988).
Sekolah itu adalah Maahad Tahfiz Wal Ulum Al Ghazaly, Sepang; Sekolah Rendah Islam Miftahul Hikmah, Klang; Sekolah Menengah Islam Global Ikhwan (Banat), Rawang; Sekolah Menengah Islam Zadut Taqwa 2, Puchong; dan Sekolah Menengah Islam Zadut Taqwa 1, Shah Alam.
Selain itu adalah Sekolah Rendah Islam Yaqutul Fuad, Rawang; Sekolah Rendah Islam Integrasi Bustanul Ikhwani, Rawang; dan Sekolah Rendah Islam Integrasi Qurratul Ain, Sepang.
Pengerusi Mais, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sudah melaksanakan pemeriksaan dan siasatan ke atas semua Sekolah Islam Persendirian terbabit dan mendapati ia menyalahi peruntukan Epsai 1988.
“Justeru, arahan penutupan semua sekolah itu dikeluarkan oleh Jais pada 23 September. Tindakan pembatalan pendaftaran sekolah Islam yang masih lagi berkuat kuasa juga akan dilaksanakan tertakluk kepada Epsai 1988.
“Pegawai penguat kuasa agama juga sedang melengkapkan kertas siasatan terhadap individu yang dikenal pasti terbabit dengan GISBH dan rangkaiannya bagi kesalahan yang berhubung dengan agama Islam dan kertas siasatan tersebut akan dikemukakan kepada Ketua Pendakwa Syarie,” katanya dalam satu kenyataan, lapor BHM.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg