Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, tidak membenarkan mana-mana surau atau musala di pusat beli-belah di negeri itu mengadakan solat Jumaat, meskipun terdapat cadangan Kerajaan Persekutuan untuk memperluaskan pelaksanaannya di pusat beli-belah seluruh negara.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Salehuddin Saidin, berkata keputusan itu dibuat selaras dengan kuasa prerogatif Sultan selaku Ketua Agama Islam di Selangor.

Datuk Salehuddin berkata keputusan itu juga mengambil kira beberapa faktor termasuk usaha memakmurkan masjid terutama pada solat Jumaat, serta kecukupan masjid dan surau yang dibenarkan mengadakan solat Jumaat di negeri berkenaan.

“Sekiranya surau atau musala di pusat beli-belah dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat, ia akan menjejaskan usaha memakmurkan dan mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadat umat Islam.

“Hal ini kerana ia boleh menyebabkan jumlah jemaah di masjid-masjid serta surau solat Jumaat sedia ada berkurangan kerana umat Islam mempunyai pilihan untuk mendirikan solat Jumaat di surau atau musala di pusat beli-belah,” katanya.

Beliau berkata ketika ini terdapat 448 masjid dan 379 surau yang telah diberikan kebenaran mengadakan solat Jumaat di Selangor, sekali gus disifatkan mencukupi untuk menampung keperluan umat Islam di negeri itu.

“Solat Jumaat merupakan ibadah penting dan mulia bagi umat Islam.

“Ia lebih sesuai didirikan di dalam masjid dan surau yang khusus dibina untuk umat Islam mengerjakan ibadah, berbanding pelaksanaannya di surau atau musala di pusat beli-belah yang lazim dikaitkan sebagai tempat perniagaan, hiburan dan rekreasi bagi orang ramai tanpa mengira kaum dan agama.

“Bagi umat Islam yang bekerja pula, masa rehat yang ditetapkan adalah mencukupi untuk mereka bergerak ke masjid atau surau solat Jumaat yang berhampiran bagi mendirikan solat Jumaat,” katanya.

Datuk Salehuddin juga menjelaskan, walaupun pada masa ini terdapat satu surau atau musala di pusat beli-belah di Selangor telah diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat, ia adalah bersifat sementara kerana tiada masjid yang berdekatan dengan premis ini.

“Namun demikian, kebenaran sementara ini akan ditarik balik jika pada masa hadapan terdapat pembinaan masjid yang berdekatan dengan pusat beli-belah tersebut yang mampu menampung kapasiti penduduk Islam setempat untuk mendirikan solat Jumaat,” katanya.

Kenyataan Mais itu menyusuli kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, pada 5 Julai, berhubung cadangan mewujudkan surau solat Jumaat di pusat beli-belah di seluruh Malaysia.

Menurut laporan media Malaysia, Dr Zulkifli berkata Kerajaan sentiasa mengalu-alukan usaha mana-mana pentadbiran negeri untuk mengambil inisiatif mewujudkan surau Jumaat di pusat beli-belah sebagai usaha memperluaskan kemudahan kepada umat Islam untuk menunaikan solat Jumaat.

Setakat ini katanya solat Jumaat telah dilaksanakan di surau beberapa pusat beli-belah, termasuk di IOI City Mall dan Alamanda Shopping Centre di Putrajaya dan Suria KLCC, manakala beberapa lokasi lain sedang dalam peringkat perbincangan.

Datuk Salehuddin menegaskan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam di negeri itu mempunyai kuasa prerogatif untuk membuat apa-apa ketetapan berhubung pentadbiran agama Islam, termasuk ketetapan kebenaran solat Jumaat bagi surau atau musala.

Di samping itu, penubuhan masjid dan surau serta penggunaan mana-mana bangunan sebagai masjid atau surau dan musala adalah tertakluk kepada kebenaran bertulis Mais di bawah seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.