Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

8 tong sisa disyaki bahan kimia dibuang dalam parit di Selangor

Sep 27, 2024 | 12:32 PM
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) menjalankan operasi pembersihan lapan tong mengandungi sisa buangan disyaki bahan kimia yang dibuang ke dalam parit di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, Selangor.
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) menjalankan operasi pembersihan lapan tong mengandungi sisa buangan disyaki bahan kimia yang dibuang ke dalam parit di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, Selangor. - Foto JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA

SUNGAI BULOH (Selangor): Sebanyak lapan tong mengandungi sisa buangan jenis cecair dipercayai bahan kimia ditemui dibuang dalam parit berhampiran kawasan perkilangan di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, Selangor.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Encik Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata pihaknya dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil sampel bahan kimia berkenaan – yang ditemukan kira-kira 0.3 meter dalam parit – bagi tujuan penilaian.

Beliau berkata operasi pembersihan sisa buangan disyaki bahan kimia itu dijalankan pada 26 September selepas pihak JPBM dimaklumkan mengenai penemuan tong berkenaan.

“Kita masih menjalankan pemantauan di lokasi untuk mengelak kejadian yang tidak diingini, selain dibantu Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) untuk tugas mengambil sampel. Kita juga memantau kerja mengalihkan tong berkenaan ke kawasan selamat.

“Tindakan seterusnya akan diambil selepas mendapat keputusan pemeriksaan ujian sampel yang dijalankan itu,” katanya, lapor Harian Metro.

Selain JBPM dan JAS, turut terbabit dalam operasi itu ialah Majlis Bandaraya Shah Alam, Pejabat Tanah, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Cik Jamaliah Jamaluddin, berkata siasatan dilakukan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengesan bau yang kuat seakan bahan kimia di lokasi pembuangan lapan tong tanpa label berkenaan.

“Pemerhatian lanjut Luas mendapati alur parit memasuki Sungai Gasi seterusnya ke Sungai Buloh. Tiada muka sauk loji rawatan air (LRA) berada di hilir aliran itu,” katanya sambil menambah pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah memasang pita keselamatan di lokasi untuk tindakan siasatan lanjut.

Terdahulu pada 26 September, lima lelaki, termasuk seorang warga Singapura, membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor, atas tuduhan melakukan sabotaj menyebabkan mudarat terhadap pemeliharaan perkhidmatan air di Bandar Tenggara.

Ia berikutan beberapa insiden pencemaran bau dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa kimia di sungai sekitar Johor Bahru dan Kota Tinggi pada awal September.

Sebelum ini, lebih 38 penduduk orang asli di Kampung Pasir Intan terpaksa dipindahkan ke balai raya kampung berdekatan selepas sesak nafas dan sukar bernafas susulan pencemaran bau Sungai Linggui, iaitu anak Sungai Sayong.

Polis Johor juga masih memburu beberapa individu yang dipercayai menyebabkan pencemaran itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg