Topik diikuti
Pergi ke BHkuSuruhanjaya diraja kes mantan SPRM akan ditubuh selepas siasatan selesai
Suruhanjaya diraja kes mantan SPRM akan ditubuh selepas siasatan selesai
Suruhanjaya diraja kes mantan SPRM akan ditubuh selepas siasatan selesai
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan membabitkan pemilikan saham mantan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki, serta dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ dalam agensi itu, tidak boleh ditubuhkan, selagi siasatan pihak berkuasa belum selesai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata buat masa ini, siasatan oleh pihak berkuasa sedang dijalankan, bagi meneliti semua dakwaan untuk mendapatkan fakta lengkap serta sahih.
“Justeru, proses siasatan perlu diberi ruang untuk dijalankan secara bebas, telus dan menyeluruh, mengikut lunas undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.
“Kerajaan juga yakin bahawa sebarang tindakan susulan hendaklah berpandukan kepada hasil siasatan berkenaan, bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah berasaskan fakta, keadilan dan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, bagi menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Bagan, Encik Lim Guan Eng dari Pakatan Harapan.
Encik Lim meminta penjelasan sebab RCI tidak ditubuhkan, untuk siasatan kes pemilikan saham Tan Sri Azam yang melebihi had boleh dimiliki oleh penjawat awam, dan dakwaan wujudnya ‘mafia korporat’ dalam SPRM.
Datuk Azalina berkata penubuhan RCI tertakluk kepada peruntukan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) dan perlu melalui beberapa proses, termasuk penyediaan Memorandum Jemaah Menteri oleh kementerian peneraju, sebelum mendapat kelulusan Kabinet.
“Setelah mendapat kelulusan Jemaah Menteri, Perdana Menteri akan menyembah maklum cadangan berkenaan untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Sekiranya dipersetujui Agong, penubuhan RCI akan membabitkan penetapan terma rujukan, keanggotaan dan tempoh siasatan yang akan dimuktamadkan, melalui pewartaan dalam Warta Kerajaan Persekutuan, sebelum suruhanjaya itu memulakan fungsinya,” katanya.
Datuk Azalina berkata Kerajaan sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan penubuhan RCI atau apa-apa mekanisme lain yang bersesuaian, sekiranya didapati perlu, demi kepentingan awam.
“Sehubungan itu, sebarang pertimbangan berhubung cadangan penubuhan RCI bagi menyiasat isu ‘mafia korporat’ dan perkara berkaitan, akan dibuat berdasarkan proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah undang-undang dengan mengambil kira fakta, dapatan, serta perkembangan semasa, hasil siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat adalah berasaskan prinsip kedaulatan undang-undang, integriti proses siasatan serta kepentingan awam,” katanya.
Sebelum ini portal media antarabangsa, Bloomberg membuat pendedahan mengenai pemilikan saham Tan Sri Azam, yang didakwa melampaui had dibenarkan bagi penjawat awam, dan dakwaan kes ugutan jenayah membabitkan kumpulan dalam SPRM yang dikenali sebagai ‘mafia korporat’.
