KUALA LUMPUR: Sektor penerbangan Malaysia bakal menerima kemasukan pemain baru industri itu, apabila Ascend Airways Malaysia memperoleh kelulusan operasi.
Syarikat penerbangan itu dijadual memulakan operasinya pada November ini, bermula dengan pesawat pertamanya, Boeing 737-800SF.
Syarikat penerbangan yang berpusat di Kuala Lumpur itu merupakan anak syarikat kepada Avia Solutions Group yang berpangkalan di Ireland, penyedia sejagat bagi perkhidmatan pesawat, kru, penyelenggaraan dan insurans (ACMI).
Dalam satu kenyataan, Ascend Airways Malaysia berkata ia memperoleh sijil pengendali udara (AOC) dan permit perkhidmatan udara (ASP) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), yang membolehkannya memulakan operasi.
Syarikat penerbangan itu, yang memperoleh permit perkhidmatan udara bersyarat (CASP) pada 2024, telah bekerjasama rapat dengan CAAM bagi melengkapkan proses pelesenan itu, lapor Berita Harian Malaysia.
Bagaimanapun, penerbangan penumpang dijangka bermula pada suku pertama 2026, tertakluk kepada kelulusan pengawal seliaan tambahan.
Ascend Airways Malaysia merancang menumpukan kepada penawaran perkhidmatan ACMI dan sewaan khas bagi operasi penumpang dan kargo di seluruh Malaysia serta rantau Asia Tenggara yang lebih luas.
Ketua Pegawai Eksekutif Ascend Airways Malaysia, Encik Germal Singh Khera, berkata syarikat penerbangan itu berhasrat menyediakan penyelesaian ACMI yang fleksibel bagi menyokong pengembangan sektor penerbangan di Malaysia, dengan jumlah trafik penumpang dijangka meningkat antara 8.4 dengan 15.6 peratus tahun ke tahun pada 2025, mencapai 105.8 juta hingga 112.9 juta penumpang.
Encik Germal menambah, kedudukan strategik Malaysia sebagai hab logistik dan penerbangan yang menghubungkan Asia Tenggara, China, dan India, meletakkannya pada kedudukan yang kukuh untuk pertumbuhan masa hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud, berkata pengeluaran AOC dan ASP mencerminkan syarikat penerbangan itu telah memenuhi proses penilaian yang teliti dan menyeluruh, serta memuji ketekunan Ascend Airways Malaysia sepanjang proses pensijilan.
Avia Solutions Group kini mengendalikan 187 pesawat di seluruh Eropah, Asia, dan benua Amerika.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg